Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Sahut cabaran, Syazani teruja bawa watak baharu dalam filem Tafakur



Oleh: BAGINDA ABU HASSAN

PELAKON Syazani Zikry baru-baru ini mendedahkan perasaan teruajnya apabila diberikan peluang membawa watak berbeza dan mencabar dalam filem Tafakur.

Dalam temu bual eksklusif bersama 7Klik, Syazani berkata, walaupun masih berasa gementar, dia sangat teruja untuk menjiwai watak tersebut.

Menerusi karya arahan Feisal Azizuddin yang bergenre psiko thriller itu, watak yang dijayakan kali ini bersifat misteri serta memerlukan dia memakai baju kurung dan menyarung kain batik.

Syazani juga menekankan betapa pentingnya pergerakan badan dan ekspresi wajah dalam menyampaikan emosi watak itu.

"Bagi saya, pergerakan badan dan memek muka lebih susah sebab kita nak sampaikan apa yang dirasa dalam konsep yang beremosi.

"Watak apa yang dibawakan itu, saya mahu biarkan audiens sendiri yang berfikir dan menekanya," katanya dengan penuh semangat.

Sedia berdepan kritikan

Ditanya apakah dia sudah bersedia sekiranya menerima kritikan daripada penonton untuk watak tersebut, pelakon berbakat itu mengakui tidak pernah takut atau risau dengan apa-apa kritikan.

“Sebagai pelakon, saya sentiasa bersedia untuk hal-hal seperti itu. Saya mahu mencuba pelbagai watak baharu, sekali gus melihat sejauh mana kebolehan atau kemampuan lakonan saya.

"Untuk watak dalam filem Tafakur ini, saya percaya bukan semua orang mampu untuk bawakan watak-watak sebegini. Ia mencabar dari pelbagai aspek dan bukan mudah untuk dihidupkan.

“Saya boleh katakan, ia adalah salah satu watak impian saya. Jadi saya lakukan persiapan secukupnya menerusi pembacaan dan kajian dalam merealisasikan watak itu," jelasnya.

Syazani mahu buktikan kemampuan dalam lakonan dengan mencuba pelbagai watak.

Justeru, Syazani mengharapkan agar penonton dapat melihat kemampuan lakonannya, sekali gus mengingati watak ikonik itu.

"Keupayaan sebagai seorang pelakon bukan sahaja boleh mainkan watak mengundang kritikan atau kontroversi, tetapi karakter yang yang diingati penonton," tegasnya.

Sokongan ibu

Dalam pada itu, Syazani mengakui bertuah kerana mempunyai ibu yang sentiasa memahami dan menyokong penuh kerjaya seninya.

Malah pakaian yang digunakan untuk watak ikonik dalam filem terbaharu lakonannya itu juga adalah milik ibunya.

"Ibu sentiasa menyokong biarpun perjalanan kerjaya seni saya biarpun kadang-kala sangat mencabar.

"Bukan sahaja memberikan kata-kata semangat, tetapi juga sokongan-sokongan lain termasuk meminjamkan bajunya untuk watak yang saya jayakan," jelasnya.

Filem Tafakur yang mengisahkan tentang pasangan yang mengalami masalah rumah tangga itu dijangka akan memberikan satu pengalaman baharu kepada penonton dan memperlihatkan kemampuan barisan pelakonnya dalam menjayakan watak yang penuh cabaran dan emosi.

Naskhah terbitan Stelo Infotainment dan Feisk Productions yang turut dibintangi Sasqia Dahuri, Luqman Hafidz dan Amylia Aidura itu akan menemui penonton di pawagam tempatan pada 19 September depan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments