GANDINGAN dua aktor papan atas, Scarlett Johansson dan Channing Tatum pastinya menjadi antara daya tarikan Utama dalam filem Fly Me To The Moon yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam.
Jika naskhah-naskhah terdahulu berkaitan pelancaran Apollo 11 lebih memfokuskan kepada fakta dan propaganda Amerika Syarikat (AS) dalam projek angkasa lepas itu, filem terbaharu terbitan Apple Studios dan These Pictures ini menampilkan sisi berbeza.
Walaupun melatari pengkisahan penuh inspirasi mengenai pendaratan manusia ke bulan oleh NASA, Fly Me To The Moon sebenarnya mengungkap tentang hubungan manis dan romantik dua teraju utamanya, Cole Davis lakonan Channing Tatum dan Kelly Jones (Scarlett Johansson).
Justeru filem arahan Greg Berlanti yang mengambil latar masa era 1960-an itu terlibat lebih kasual, santai dan sangat menghiburkan untuk ditonton.
Fly Me To Moon yang bernuansa komedi ini secara ringkasnya menceritakan tentang Kelly Jones, seorang pakar pemasaran yang ditugaskan untuk memperbaiki imej awam NASA yang bertanggungjawab ke atas pelancaran Apollo 11.
Kehadiran Jones menimbulkan huru-hara kepada Pengarah Pelancaran, Cole Davis yang sebelum ini bergelut dengan tragedi tragis yang meragut nyawa calon-calon angkasawan dalam projek terdahulu. Bagaimana pun mereka perlu bekerjasama dalam segala aspek agar projek itu berjaya direalisasikan tanpa sebarang masalah.
Apabila White House menganggap misi itu terlalu penting, tetapi dalam masa sama tahu ia berisiko untuk gagal, Jones diminta untuk menyiapkan satu rakaman pendaratan palsu di bulan dalam sebuah studio sebagai plan B atau rancangan sandaran mereka kepada dunia.
Dalam kekacauan serta tekanan kerja yang dihadapi, hubungan Jones dan Cole semakin rapat disulami perasaan romantis tanpa disedari.
Naskhah ini digarap dengan cukup baik, malah elemen romantis, komedi, sejarah dan fiksyen berjaya disulam dengan sempurna menjadikan durasi lebih dua jam itu tidak begitu dirasai.
Ia sama sekali berbeza dengan tanggapan awal penonton yang berasakan jalan ceritanya akan berpaksikan sepenuhnya kepada pelancaran Apollo 11 yang pernah menimbulkan kontroversi kononnya kerajaan AS memalsukan pendaratan angkawasan Neil Armstrong di bulan menerusi Apollo 11.
Tidak hanya jalan ceritanya yang menarik, Fly Me To The Moon juga berjaya membawa penonton untuk turut sama berada pada era 1960-an menerusi penggunaan kostum, latar tempat, muzik, visual dan lain-lain dengan perincian yang begitu meyakinkan.
Namun antara kelebihan utama filem ini tentunya daripada gandingan lakonan Scarlett Johansson dan Channing Tatum. Keserasian mereka sangat luar biasa meski kali pertama digandingkan sekali gus menambahkan elemen eksklusif untuk filem ini.
Johansson tampil dengan lakonan menghiburkan sebagai Jones yang memiliki karakter yang begitu menarik sebagai wanita bijak, cerdas tetapi dalam masa sama seorang yang cheeky dan manipulatif. Tidak diragukan dia berjaya melaksanakannya dengan cukup cemerlang.
Sementara Tatum pula memperlihatkan sisi berbeza dalam lakonannya kali ini menjadikan penampilan sebagai Cole begitu segar dan menarik.
Secara keseluruhannya, Fly Me To Moon adalah naskhah romantik komedi wajib tonton! Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan. - 7KLIK
[KREDIT FOTO: Sony Pictures Entertainment - Terima kasih Junette]
ARTIKEL LAIN:
- review-ketakutan-yang-senyap-dalam.html
- review-memoir-seorang-guru-rasa-yang.html
- review-kucing-legenda-si-garfield-buat.html
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P13
Genre: Romantik Komedi/Drama
Durasi: 2 jam 12 minit
Pengarah: Greg Berlanti
Pelakon: Scarlett Johansson, Channing Tatum, Nick Dillenburg, Jim Rash, Ray Romano, Woody Harrelson
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 11 Julai 2024
Bintang: 7.5/10
0 Comments