Wakil Hamas dalam satu kenyataan berkata, kumpulan pejuang Islam itu berkabung atas kematian Haniyeh, selain mengesahkan Ismail dibunuh dalam satu serangan rejim Zionis di kediamannya di Tehran.
"Saudara, pemimpin, mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan kita, syahid dalam serangan Zionis di ibu pejabatnya di Tehran selepas beliau menyertai pelantikan presiden baharu (Iran)," katanya.
Al Jazeera melaporkan pengawal Revolusi Iran memaklumkan, Ismail terbunuh bersama seorang pengawal peribadinya.
Difahamkan Ismail berada di Tehran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian semalam.
Bagaimanapun Iran tidak memberikan butiran mengenai bagaimana Haniyeh dibunuh dan menyatakan bahawa serangan berkenaan sedang disiasat.
Ismail sebelum ini dilantik ke jawatan tertinggi Hamas pada 2017, dan terpaksa berpindah randah antara Turkiye dan ibu kota Qatar, Doha, melarikan diri dari sekatan perjalanan di Semenanjung Gaza yang disekat.
Strategi itu membolehkannya bertindak sebagai perunding dalam rundingan gencatan senjata atau bercakap dengan sekutu Hamas, Iran.
Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments