Hot Posts

6/recent/ticker-posts

'Notifikasi' istimewa Pearl Abdul buat peminat


HADIR bersama bakat dan karya berkualiti untuk dikongsi, pendatang baharu, Pearl Abdul yakin untuk terus melangkah dan menempatkan diri dalam industri seni tanah air.

Setelah lebih tiga tahun menceburi bidang nyanyian secara serius, Pearl, 28, yang mula dikenali selepas memasuki rancangan realiti TV, I Can See Your Voice musim ketiga itu kini tampil dengan single debutnya yang berjudul Notifikasi.

Karya tersebut merupakan hasil ciptaan bersama Emeer Bakri, Amzar Sabri, Sabbala dan Pearl sendiri, begitu juga lirik yang juga merupakan kolaborasi orang yang sama.

Menurut penyanyi yang juga merupakan seorang penulis lagu dan lirik itu, ideanya menghasilkan sesuatu karya adalah mengikut apa yang digambarkan dalam fikiran.   

“Sebagai seorang singer-songwriter, kadang-kadang kita menulis mengikut apa yang kita gambarkan dalam fikiran.

"Bagi saya sendiri, untuk hasilkan penulisan lirik lagu ini, perkara pertama yang perlu ada dalam fikiran saya adalah mood dan jalan cerita.

"Dari situ barulah boleh hasilkan melodi dan lirik yang bersesuaian. Saya seronok bekerjasama dengan komposer lagu Notifikasi kerana kami saling melengkapi dalam proses menyiapkan lagu ini,” ujarnya.


Lagu Notifikasi adalah mengenai seseorang yang berada dalam perhubungan akrab dan sentiasa menunggu jawapan daripada seseorang yang tidak pasti dimiliki. Setiap pesanan dalam lagu itu menyatakan kerinduan si dia akan waktu ketika mereka bersama dahulu dengan cara berbicara pada yang Esa agar cinta mereka dapat disatukan.

“Kita cuba sasarkan pendengar-pendengar indie, R&B dan pendengar hip hop underground. Saya sangat hargai artis-artis underground atau independent atas sebab karya-karya yang mereka hasilkan.

"Para pendengar sering dapat menjiwai setiap hasil karya mereka yang mengagumkan. Jadi saya berharap dengan adanya lagu ini dapat melebarkan lagi sayap saya dalam industri Muzik Malaysia dan lebih dikenali ramai," akuinya.

Sepenuh hati

Berkongsi tentang proses penghasilan lagu tersebut, Pearl yang mula aktif dalam bidang muzik selepas bergelar graduan dan alumni (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu menyifatkan kolaborasinya bersama Emeer Bakri, Amzar Sabri, Amsyar Razqa dan Sabbala sangat lancar kerana mereka mempunyai misi sama dalam muzik. 

"Semuanya berjalan lancar dan kami begitu mudah bekerjasama. Mereka sangat berpengalaman dan banyak membantu saya sepanjang penghasilan lagu dan sesi rakaman.

“Kami mengambil masa selama lebih kurang empat jam untuk menyiapkan lagu ini kerana ia dirakamkan pada waktu malam.

"Kami bersungguh-sungguh berikan yang terbaik untuk karya ini, malah beberapa kali mengubah dan membuat improvisasi sehingga masing-masing puas hati. Kami lakukan dengan sepenuh hati untuk Notifikasi,” jelas anak kedua daripada tiga beradik itu lagi.

Dalam pada itu, Pearl mengakui semakin selesa bersama label Armani Entertainment Group (AEG) yang memberikan dia peluang untuk menimba pelbagai pengalaman baharu. 

"Hari demi hari saya dapat mengenali AEG team dan mereka tahu apa yang saya suka dan mahukan karya.

“Alhamdulillah, setelah bekerjasama dengan mereka juga, saya mula dikenali baik dalam kalangan peminat muzik, mahupun para penerbit, penyanyi dan komposer.

"Saya mengharapkan agar dengan keunikan dan tarikan dari dalam diri saya ini, sebanyak sedikit dapat dijadikan sebagai inspirasi di luar sana," katanya.


Biarpun masih baharu dalam industri, bintang kelahiran Negeri Sembilan itu mempunyai impian sendiri untuk melihat muzik dan karyanya dapat dikembangkan di luar negara dan mempunyai penggemar daripada pelbagai latar belakang.

"Impian untuk dapat pendengar dari luar negara adalah satu impian besar yang saya inginkan sejak dahulu.

“Saya akui bukan senang untuk meraih perhatian ramai sebagai penyanyi yang gemarkan genre-genre sebegini, tetapi selai ita ikhlas dalam apa yang dilakukan dan kongsikan, insya-ALLAH ada rezeki kita.

"Apa yang penting, jangan pernah berputus asa kerana rezeki ini luas. Selagi kita usaha, kita berharap dengan Allah dan pasti ada hasilnya,” katanya yang mengharapkan kehadiran lagu karyanya itu dapat memberi nafas baharu dalam industri muzik tanah air.

Single Notifikasi kini boleh didengari dan dimuat turun melalui platform penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music dan muzik video boleh ditonton eksklusif di saluran YouTube @ArmaniEntertainmentGroup. - 7KLIK 


ARTIKEL LAIN:
[FOTO: Armani Entertainment Group - Terima Kasih Famy G]

Post a Comment

0 Comments