Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Noriko Ohara, pemilik suara Nobita meninggal dunia


PELAKON suara, Noriko Ohara yang terkenal dengan alih suara untuk karakter Nobita Nobi dalam siri animasi popular Doraemon meninggal dunia pada 12 Julai lalu.

Ohara atau nama sebenarnya Noriko Tobe meninggal dunia pada usia 88 tahun setelah lama mendapatkan rawatan untuk satu penyakit yang tidak didedahkan kepada umum.

Bintang asal Tokyo itu meminjamkan suaranya untuk watak Nobita, seorang budak lelaki malas tetapi optimis yang dijaga oleh seekor kucing robotik dari masa depan, Doraemon, selama 26 tahun, sejak 1979 sehingga 2005. Karakter suara itu sangat ikonik dan dikenali ramai merentasi generasi sejak sekian lama.

Menerusi satu temubual bersama Cinema Today pada 2017, Ohara berkongsi tentang proses rakaman Doraemon yang disifatkannya sangat mencabar.

"Semua orang dapat bekerja dengan baik. Namun menjayakan siri ini (Doraemon) ibarat menjadi seorang atlet. Kami merakam tujuh hingga lapan episod pada satu-satu masa, dan Gian (karakter dalam Doraemon) selalu mengejar kita. Jadi kita perlu membina stamina," ujarnya.


Selain Nobita, bintang alih suara itu turut mengisi pelbagai karakter dalam siri animasi lain termasuk Peter dalam Heidi: Girl of the Alps, Conan (Future Boy Conan), Doronjo (Yatterman) dan Oyuki (Urusei Yatsura).

Tidak hanya itu, mendiang juga mengalih suara versi Jepun untuk pelakon wanita Amerika, Shirley MacLaine dan pelakon Perancis Catherine Deneuve dalam pelbagai filem. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments