Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kongsi kisah kehidupan sendiri, IJ mahu 'Lari' daripada masalah

MESKI tahu tidak mudah untuk menempatkan diri dalam industri seni yang penuh dengan persaingan, penyanyi IJ tekad untuk terus melangkah dalam usahanya untuk berkongsi bakat. 

Bakat pemilik nama penuh Ijlal Afiq, dicungkil daripada program I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga, kemudiannya mula dikenali apabila kerap menghasilkan video yang menukar genre lagu pop kepada ballad di aplikasi TikTok dengan trademark 'what if lagu ni'.

Berbekalkan keyakinan dan semangat tinggi dalam diri, anak kelahiran Johor Bahru itu kini tampil dengan sebuah single berjudul Lari, terbitan Armani Entertainment Group.

Karya tersebut merupakan hasil sentuhan komposer Amzar Sabri dan Amsyar Razqa, manakala lirik oleh Amsyar Razqa, Ijlal Afiq dan Emeer Bakri.

Menurut IJ, lagu tersebut secara ringkasnya menceritakan tentang apa yang dilakukan seseorang untuk menempuhi liku-liku kehidupan dengan masalah yang menyelubungi kehidupannya.

"Semua orang akan hadapi masalah kan? Sama ada kecil atau besar sahaja. Namun, setiap orang ada cara tersendiri untuk keluar daripada realiti kehidupan seharian dan meluangkan masa untuk diri sendiri agar kekal tenang.

"Bagi saya pula, muzik adalah tempat untuk keluar atau lari daripada realiti di mana saya akan menghasilkan lagu ataupun membuat 'cover' lagu daripada artis-artis lain," ungkapnya.

Mengakui single pop ballad itu sangat berkait rapat dengan kisah hidupnya, IJ berkata, penghasilan karya tersebut sedikit sebanyak lahmnya tercetus daripada kisah hidupnya.

“Saya merupakan pendatang baharu dalam industri muzik tanah air. Jadi dengan mempertaruhkan genre pop ballad, saya berharap lagu ini akan mendapat sambutan seperti lagu-lagu pop yang pernah hits atau viral sebelum ini.

"Cukup sekadar penggemar muzik tanah air boleh terima single pertama Lari, saya dah rasa cukup dan amat bersyukur,” jelasnya.

Berkongsi proses pembikinan lagu tersebut dan pengalaman bekerja di studio, bintang berusia 25 tahun itu mengakui seronok dan selesa bekerjasama dengan komposer dan penulis lirik lagu itu.

"Amsyar Razqa, Amzar Sabri dan Emeer Bakri sangat terbuka dari segi idea untuk penambahan instrumen ataupun vokal.

"Tiga hari selepas saya menerima demo untuk lagu Lari daripada komposer, mereka terus memulakan sesi rakaman vokal.

"Proses rakaman mengambil masa selama empat hari kerana kekangan dari segi masa. Namun, saya berpuas hati dengan penghasilan lagu ini atas kerjasama komposer dan penulis lirik bersama," katanya.

Genre Pop

Dalam pada itu, IJ meletakkan harapan tinggi agar kehadirannya dalam industri bersama single Lari dapat diterima ramai.

“Saya ingin jadikan genre pop sebagai genre utama saya seperti yang dilakukan oleh Ismail Izzani dan Andi Bernadee.

"Kelebihan genre pop ini bukan terletak kepada vokal sahaja, tetapi bagaimana cara seseorang penyanyi mempersembahkan lagu mereka atas pentas nanti.

"Saya juga seorang penari, jadi saya rasa itu antara salah satu kelebihan yang saya ada untuk bawa genre pop sebagai genre utama,” tegasnya.

Bercerita tentang muzik video lagu Lari, IJ tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya.

“Saya sangat teruja sepanjang pembikinan muzik video dan penggambaran kerana ia adalah pengalaman pertama saya berbuat demikian untuk lagu yang saya sendiri nyanyikan.

"Konsep dan idea saya serahkan kepada penerbit dan juga pengarah iaitu Meamth kerana saya yakin dengan hasil kerjanya kerana kami pernah bekerjsama sebelum ini.

"Pembikinannya berlangsung selama dua hari dan saya cukup yakin dengan hasil yang akan team Armani Entertainment berikan,” akhirinya.

Lagu Lari boleh didengari dan dimuat turun melalui platform penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music. Sementara muzik video pula boleh ditonton di saluran YouTube @ArmaniEntertainmentGroup. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
[KREDIT: Armani Entertainment Group]

Post a Comment

0 Comments