Hot Posts

6/recent/ticker-posts

KFC Malaysia lancarkan biasiswa, peruntukan RM2.1 juta perkasa generasi pemimpin masa depan


SEMPENA meraikan pembabitan lebih setengah abad dalam memperkayakan kehidupan rakyat Malaysia dengan makanan yang enak dan detik-detik istimewa, KFC Malaysia mengumumkan pelancaran Biasiswa KFC.

Ia merupakan peruntukan yang bertujuan untuk memperkasakan lebih 30 pelajar daripada komuniti kurang bernasib baik di Malaysia melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Peruntukan RM2.1 juta itu disasarkan kepada pelajar B40 yang layak dan ingin melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di salah satu daripada 20 universiti awam di Malaysia. Selain yuran pengajian, biasiswa itu turut meliputi elaun sara hidup bulanan dan baucar makan KFC.

Permohonan untuk biasiswa itu dibuka pada 28 Mei melalui laman sesawang KFC dan lebih 500 permohonan diterima setakat ini.

Pelajar yang telah menerima surat tawaran daripada universiti awam Malaysia boleh memohon program biasiswa itu di https://kfc.com.my/scholarship sehingga tarikh tutup pada 31 Julai 2024.

Menurut kajian yang dijalankan oleh USCI Poll Research Centre pada tahun 2023, hanya separuh daripada 1,000 calon SPM yang ditinjau merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Antara alasan yang diberikan oleh mereka termasuk kekangan kewangan yang menjadi halangan ketara: 32 peratus (%) menyatakan pinjaman pelajar sebagai penghalang, dan 32% lagi menyatakan yuran pendidikan yang tinggi.

Biasiswa KFC bertujuan untuk meringankan beban kewangan dan memperkasakan pelajar untuk fokus pada pelajaran mereka. Kenaikan kos sara hidup dan yuran pendidikan menjadi cabaran kepada kebanyakkan keluarga, terutama mereka yang berada dalam komuniti yang kurang mendapat perhatian untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak mereka.

Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, sebagai pengendali rangkaian makanan segera terbesar di Malaysia, QSR Brands menggunakan kelebihan mereka untuk mengubah kehidupan masyarakat ke arah masa depan yang lebih baik dan mewujudkan masyarakat lebih saksama.

"Biasiswa KFC mencerminkan komitmen kami untuk melabur dalam pembangunan komuniti dan memperkasa generasi pemimpin masa depan.

"Dengan mengurangkan halangan kewangan, kami berhasrat untuk membuka pintu yang lebih luas kepada pendidikan berkualiti dan membina peluang ekonomi untuk masa depan,” ujarnya.

Biasiswa KFC adalah lanjutan daripada Add Hope Foundation, cabang kebajikan KFC Malaysia yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan masyarakat.

Dengan menyalurkan sumber ke dalam bidang pendidikan, KFC Malaysia berhasrat untuk meningkatkan aspirasi akademik pelajar serta memupuk masa depan yang lebih cerah untuk mereka dan negara.

Halangan Sosial

Sementara itu, Ketua KFC Malaysia Chandrasagran Munusamy, berkata, pihaknya percaya dalam mewujudkan impak positif dan berkekalan kepada masyarakat.

“Melalui pelancaran Biasiswa KFC yang pertama ini, kami melabur untuk masa depan Malaysia dengan memperkasakan generasi muda dengan asas yang mereka perlukan. Ia bagi mengatasi halangan sosial dan ekonomi untuk menggapai impian mereka dan menyumbang kepada pembangunan negara.

"Kami berharap dapat memberi impak kepada lebih ramai golongan belia Malaysia pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Permohonan Biasiswa KFC akan terus dibuka sehingga 31 Julai ini dan pelajar yang disenarai pendek akan mengambil bahagian dalam proses saringan dserta pemilihan oleh panel yang terdiri daripada pengurusan QSR Brands.

Biasiswa itu akan diberikan kepada 30 pelajar yang akan menerima bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda sehingga tempoh empat tahun.

Biasiswa KFC diwujudkan atas komitmen berterusan QSR Brands terhadap program pembangunan dan peningkatan komuniti.

Melalui Program Add Hope dan KFC Feeding, KFC Malaysia telah menyumbang lebih daripada RM32 juta sejak tahun 2007.

QSR Brands juga baru-baru ini menyatakan komitmen mereka dengan ikrar sebanyak RM2 juta untuk memerangi kelaparan kanak-kanak dalam menyokong pelajar kurang bernasib baik di 28 sekolah di Malaysia.

Pelajar warganegara Malaysia yang berminat digalakkan melayari https://kfc.com.my/scholarship untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Biasiswa KFC, termasuk kriteria kelayakan, proses permohonan dan tarikh akhir. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments