BINTANG popular Korea Selatan yang juga anggota kumpulan BTS, Jin mengetuai larian pembawa obor berganti-ganti Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung pada Ahad.
Jin atau nama sebenarnya Kim Seok-jin tampil pada acara tersebut yang bermula di Muzium Louvre, Paris pada jam 8 malam bersama ribuan individu lain daripada kalangan atlet, mangsa peperangan dan pekerja am.
Penyanyi itu mencuri perhatian ramai apabila ribuan peminat BTS yang dikenali sebagai Army berkumpul di acara itu semata-mata untuk bertemu dengannya.
Pelbagai papan tanda dan kain rentang dengan tulisan kata-kata semangat turut dibawa sebagai tanda sokongan buat penyanyi berusia 31 tahun itu.
Biarpun dikawal ketat pihak polis, Jin kelihatan tidak lepas memberikan senyuman dan melambai ke arah peminat apabila namanya tidak henti-henti dilaungkan.
Jin kemudiannya bergerak ke Rue de Rivoli, sebuah jalan berhampiran dan diserahkan obor berkenaan. Jin kemudian berlari kira-kira 200 meter sebelum mengembalikannya ke pusat pembawa obor di muzium.
"Saya berasa amat berbesar hati kerana dapat menyertai larian pembawa obor berganti-ganti hari ini. Terima kasih kepada Army dan semua peminat yang membolehkan saya membawa obor ini," katanya yang baru sahaja menamatkan perkhidmatan ketenteraan wajibnya pada Jun lalu.
Temasya sukan berprestij dunia yang turut menyaksikan penyertaan daripada kontinjen Malaysia itu akan bermula pada 26 Julai ini. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments