SELEPAS 14 tahun hidup Bersama sebagai pasangan suami isteri, pelawak Harith Iskander, sah bercerai dengan Dr. Jezamine Lim di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Khamis.
Harith, 58, melafazkan cerai talak satu terhadap isteri di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd Ali dalam satu perbicaraan yang dilakukan secara tertutup tanpa kehadiran orang awam.
Peguam syarie yang mewakili pasangan itu, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, Harith dan Dr. Jezamine bersetuju bercerai secara baik selepas tiada lagi persefahaman dalam perkahwinan mereka.
Tambahnya, permohonan perceraian bersama itu dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan dibenarkan Hakim Syarie.
"Selain itu, tuntutan nafkah anak diselesaikan dengan baik mengikut seksyen 73 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984," katanya.
Terdahulu Dr. Jezamine, 41, telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 24 Jun lalu.
Selepas berita tu diketahui umum, Harith turut tampil dalam satu temubual podcast dan mengakui rumah tangga mereka bergolak berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri.
Katanya lagi, keputusan untuk berpisah itu bukan dibuat secara mendadak, tetapi dia dan isteri sudah cuba mempertahankan perkahwinan tersebut, tetapi tidak berhasil.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, 9. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments