Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Genre baharu beri kelainan, Afif Tirmizie teruja dengan Wira Peronda


LAMA tidak tampil dengan karya terbaharu, penyanyi Afif Tirmizie teruja apabila dapat kembali berkongsi single pertamanya bersama Alternate Records berjudul Wira Peronda.

Afif atau nama lengkapnya Ahmad Alif Afif Tirmizie menganggap tawaran itu sebagai peluang yang dinanti untuk dirinya melebarkan sayap dalam bidang nyanyian melalui penghasilan lagu runut bunyi (OST) drama aksi kepolisan terbaharu, Polis Peronda yang sedang hangat ditayangkan di TV3.

Drama itu telah mula ditayangkan dengan lima episod bermula 28 Jun lalu, setiap Jumaat, jam 10 malam.

Lagu runut bunyi Wira Peronda yang dinyanyikan Afif turut memainkan peranan penting dalam menambahkan lagi kesan dramatik dan emosi dalam setiap episod drama tersebut. 

Mengulas tentang sigle tersebut, Afif  melahirkan rasa teruja dan bangga kerana dapat terlibat dalam projek ini.

"Saya amat terharu kerana diberi peluang untuk menyumbangkan suara saya dalam drama hebat ini. Saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati penonton dan memberikan kesan mendalam," ujarnya.

Dalam pada itu, Afif turut meluahkan perasaan bercampur baur apabila mengetahui bahawa lagu tersebut merupakan OST drama daripada Skop Production.

"Agak gementar juga kerana saya tidak pernah menyanyikan lagu berentak seperti ini. Sesi rakaman lagu hanya mengambil masa dua jam, dan ini adalah kali pertama bekerjasama dengan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh.

"Jadi pengalaman ini sangat menyeronokkan kerana kedua-dua komposer tersebut sangat profesional dan santai. Jika diberi peluang, saya memang ingin bekerjasama lagi," katanya.

Walaupun dikenali dengan lagu berentak hip hop dan balada, Afif menganggap cabaran menyanyikan lagu Wira Peronda ini sebagai satu kelainan apabila beliau melangkah keluar dari zon selesanya.

"Ini suatu cabaran baharu buat saya kerana perlu menyanyikan genre yang berlainan daripada kebiasaan saya iaitu genre hip hop atau balada.

"Walaubagaimanapun, peluang ini akan memberikan ruang untuk saya menonjolkan kelainan dari segi vokal kerana para peminat tidak pernah mendengar saya menyampaikan lagu bergenre pop rock.
 

"Gabungan muzik yang mendalam dan lirik penuh makna menjadikan lagu ini sebagai salah satu karya terbaik saya dalam industri,” jelasnya.


Afif juga berharap peminat akan terus mendengar lagu ini kerana ia mempunyai mesej yang sangat bagus, penuh semangat dan keberanian selaras dengan tema drama yang mengangkat kisah para anggota polis peronda yang berdedikasi.

"Semoga pendengar dapat menerima apabila saya menyanyikan melodi seperti ini kerana ia merupakan sesuatu yang baru untuk saya," katanya yang mengharapkan sokongan berterusan dalam kerjaya seninya.

Vokal Mantap

Sementara itu, Ikhwan Fatana selaku komposer lagu tersebut berkata, proses pembikinan Wira Peronda mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan.

"Saya mula mengarang lirik dan melodi lagu ini bersama Wan Salleh apabila menerima permintaan daripada pihak Alternate Records tentang drama Polis Peronda.

"Dari situ, saya mula merangka lirik dan menghasilkan melodi lagu bersama Wan Salleh di studio di mana proses pembikinan lagu ini mengambil masa hanya dua minggu," jelasnya.

Memuji vokal mantap Afif, Ikhwan turut mengakui ia turut membantu memudahkan kerjasama serta mempercepatkan proses rakaman lagu.

"Afif sentiasa ada idea menarik dan vokalnya yang tersendiri menjadikan lagu ini unik. Saya berharap agar lagu ini berjaya melekat di ingatan pendengar yang menonton drama ini," katanya.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu Wira Peronda nyanyian Afif Tirmizie yang telah mula bergema di pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:
[KREDIT: Alternate Records - Terima Kasih Mohammad Nazmi]

Post a Comment

0 Comments