Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Bakal jayakan konsert jelajah dunia, ‘reunion’ 2NE1 jadi kejutan paling gempak buat peminat


Oleh: AILEEN ADAM

SETELAH berdepan dengan pelbagai kritikan dan kontroversi melibatkan isu kewangan serta kontrak pengurusan artis naungan mereka, YG Entertainment tampil dengan pengumuman penting pada Isnin.

Pemilik dan pengasasnya, Yang Hyun-Suk berkongsi beberapa perancangan serta projek penting menarik melibatkan barisan artis agensi itu bermula tahun 2025.

Biarpun tidak menyatakan butirannya secara terperinci, tetapi pengumuman itu sudah cukup mengundang teruja dalam kalangan peminat yang sememangnya menantikan perkembangan terbaharu daripada barisan artis popular yang bernaung di bawah agensi yang cukup berpengaruh dalam industri K-Pop itu.

Antara yang paling mencuri perhatian adalah pengesahan kumpulan wanita popular, 2NE1 yang akan kembali bergabung dan menjayakan konsert jelajah dunia mereka, sekali gus mengubat rindu peminat sejak sekian lama setelah dibubarkan pada 2016.

2NE1 yang ditubuhkan pada 2009 menerusi YG Entertainment itu dianggotai oleh Bom atau Park Bom, Minzy (Gong Min-Ji), CL (Lee Chae-Rin) dan Dara (Sandra Park).

Difahamkan penampilan semula kumpulan yang boleh dianggap lejen ini adalah bersempena sambutan ulang tahun penubuhan mereka yang ke-15 tidak lama lagi. Berbeza dengan kumpulan wanita lain, 2NE1 sering membawakan kelainan dan berani meneroka genre baharu membuatkan penampilan mereka sering ditunggu.

Sejak berita tersebut diumumkan, ia terus menjadi bualan hangat di media sosial dengan pelbagai reaksi positif daripada netizen yang kembali mengimbas nostalgia dan era kegemilangan kumpulan wanita ikonik itu. Antara lagu popular mereka ialah Fire, Go Away, I Am The Best, Ugly, Comeback Home, Gotta Be You, GoodBye dan lain-lain.

Menariknya, 2NE1 juga merupakan kumpulan wanita K-Pop pertama yang mengadakan konsert jelajah dunia menerusi konsert New Evolution Global Tour yang menyaksikan kumpulan itu beraksi di beberapa negara Asia dan Amerika Utara.

Kini mereka akan kembali semula mengelilingi dunia dengan konsert jelajah yang difahamkan akan bermula pada Oktober depan.



Begitu juga dengan 'comeback' album dan konsert jelajah dunia Blackpink terbaharu yang turut menjadi perhatian ramai setelah pelbagai spekulasi bertebaran mengenai kumpulan ini yang hampir setahun tidak tampil dengan aktiviti berkumpulan.

Selain itu, Hyun-Suk turut memaklumkan perancangan aktiviti melibatkan Treasure dan BabyMonster yang juga akan terlibat dengan debut konsert jelajah dunia mereka pada tahun depan.

Jika perancangan ini benar-benar menjadi kenyataan, bererti pada tahun 2025, peminat akan menyaksikan tiga kumpulan wanita popular daripada tiga generasi berbeza YG Entertainment akan tampil aktif dan beraksi serentak menemui peminat mereka di peringkat global.

Dalam masa sama, AKMU dan Winner yang juga merupakan artis naungan YG, turut akan tampil dengan projek menarik bersama peminat yang pastinya akan merancakkan kerjaya seni mereka pada tahun depan.

Tidak hanya itu, agensi tersebut turut memaklumkan akan memperkenalkan artis berkumpulan baharu di bawah naungan mereka. Bagaimanapun butirannya masih menjadi rahsia dan akan didedahkan apabila tiba masanya.

Nampaknya sepanjang tahun 2025, peminat K-Pop akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik melibatkan artis pujaan mereka yang bernaung di bawah YG Entertainment. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:



Post a Comment

0 Comments