PELAKON Datin Intan Najuwa berkongsi berita gembira kini sedang hamil cahaya mata sulung pada Khamis.
Perkongsian itu dilakukan Intan, 27, menerusi satu hantaran di laman Instagramnya dengan memuat naik foto terbaharu dirinya yang menampakkan 'baby bump' pada bahagian perut serta rakaman imbasan sonogram menunjukkan perkembangan bayi dalam kandungannya.
"Rahsia kami akhirnya terdedah. Tidak lama lagi akan bertiga," katanya.
Menurut bintang drama Racun Rihanna itu, kandungannya kini sudah memasuki trimester kedua.
Perkongsian tersebut turut menarik perhatian para peminat dan pengikutnya di Instagram yang mengucapkan tahniah dan mendoakan yang terbaik buatnya dan kandungan.
Menerusi hantaran berbeza di Instagram Story, Intan turut menzahirkan ucapan terima kasih atas doa dan kata-kata semangat yang diberikan orang ramai buat dirinya.
"Terima kasih atas semua doa, kata-kata yang baik dan semua benda yang positif.
"Saya dan suami mengambil sedikit masa untuk berkongsi tentang berita ini tetapi perkara yang baik dan bahagia perlu dikongsi supaya ramai yang mendoakan dan saya percaya semua bayi di dunia ini perlu diraikan," katanya.
"Untuk yang komen toksik tu, tidak apa. Kata-kata yang kita katakan dan lontarkan akan sentiasa berbalik kepada kita sendiri. Jadi berhati-hatilah jika menulis sesuatu.
"Kepada semua yang memberikan kata-kata positif, terima kasih banyak-banyak.
"Saya doakan kepada semua wanita yang sedang menunggu zuriat dan sedang berusaha untuk dapatkan cahaya mata, semoga ALLAH tiupkan malaikat kecil menjadi penghuni Rahim kalian. Amin," ujarnya.
Intan mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan Datuk Ahmad Azraf Azman pada 18 Ogos tahun lalu. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments