Hot Posts

6/recent/ticker-posts

ASEAN Heritage Train buka ruang pertukaran budaya


KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Lao PDR dan Kementerian Kebudayaan Thailand, berjaya menganjurkan program ASEAN Heritage Train: Enhancing Connectivity towards Cultural Diversity (AHT) bermula pada 9 hingga 26 Julai 2024.

Program itu akan merentasi tiga buah negara ASEAN iaitu Laos, Thailand dan Malaysia yang menggunakan keretapi sebagai pengangkutan utama.

Menariknya program di bawah ASEAN Cultural Fund (ACF) itu menghimpunkan penggiat seni budaya bidang seni persembahan, gastronomi dan kraf dari negara ASEAN iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Merupakan projek yang dibiayai oleh geran Jawatankuasa Kebudayaan dan Maklumat ASEAN (ASEAN-COCI), inisiatif unik itu bertujuan untuk memupuk keharmonian serantau dan mengukuhkan pertukaran budaya.

AHT berlepas pada 9 hingga 14 Julai dari Luang Prabang, Vang Vieng dan Vientiane, Laos, seterusnya singgah di Nong Khai, Bangkok, Petchaburi dan Songkhla, Thailand (15 hingga 20 Julai)  dan berakhir di Malaysia menerusi persinggahan di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur (21 hingga 26 Julai).

Seramai 40 peserta terlibat dengan pelbagai acara sepanjang perjalanan berlangsung termasuk persembahan kebudayaan, pameran dan bengkel kraftangan, pengalaman kulinari tradisional, pertukaran pengetahuan dengan masyarakat tempatan dan sebagainya.


Khairul Firdaus (tiga dari kiri) melancarkan Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN sempena program ASEAN Heritage Train yang diadakan di Kuala Lumpur Sentral pada Selasa.

Bersempena program AHT ini juga, Malaysia juga turut menganjurkan Pameran Hiasan Kepala Tradisional ASEAN dengan mengetengahkan 23 hiasan kepala mewakili negara-negara ASEAN termasuk Malaysia yang berlangsung pada 22 hingga 24 Julai di Lobi Utama, Kuala Lumpur Sentral.

Kedua-dua program tersebut berteraskan Dasar Kebudayaan Negara dan Dasar Industri Kreatif Negara.
Ia juga sejajar dengan pelan tindakan UNESCO dan Pelan Strategik Kebudayaan dan Kesenian ASEAN 2016-2025 untuk pemeliharaan warisan budaya dan semula jadi serta pemuliharaan kepelbagaian budaya, yang dianggap penting untuk pembangunan mampan, keamanan dan keselamatan di negara, peringkat serantau dan antarabangsa.

AHT dirasmikan oleh Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan di Lobi Utama KL Sentral pada Selasa. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Mohd Yusri Mohd Yusoff; Ketua Pegawai Operasi KTMB; Mohd Zain Mat Taha dan Ketua Pengarah JKKN; Amran Mohd Haris. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

[KREDIT: JKKN - Terima Kasih Nur Hidayah Zakaria]

Post a Comment

0 Comments