BINTANG legenda, Nona Asiah meninggal dunia di Hospital Besar Changi, Singapura, sekitar 4.25 pagi Selasa.
Pemilik nama sebenar Noor Asiah Aman itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 94 tahun setelah dua bulan berada di hospital akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk buah pinggang, paru-paru dan jantung, selain turut menderita dimensia.
Media Singapura melaporkan, pemergian penyanyi terkenal di era kegemilangan filem Melayu klasik di Singapura itu disahkan sendiri oleh anak Allahyarham, Indra Shahrir Ismail yang juga merupakan seorang pengarah muzik.
Jenazah penyanyi legenda itu dijangka akan dikebumikan pada pagi Rabu (esok) kerana menunggu kepulangan keluarga terdekat dari Australia.
Ketika hayatnya, Nona Asiah cukup dikenali sebagai penyanyi latar untuk filem-filem klasik era kegemilangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee terbitan Malay Film Production dan Cathay-Keris, selain merupakan antara biduanita tersohor di rantau Nusantara sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an.
Antara lagu-lagu popular ialah
Ingin Tahu, Jikalau Abang Merindu, Hasan dan Hasnah, Manusia Miskin Kaya, Dunia Asmara serta banyak lagi.
Vokal merdu bintang legenda itu pernah mengisi runut bunyi (OST) filem seperti
Chinta, Nasib, Nilam, Rachun Dunia, Hujan Panas dan
Bujang Lapok.
Allahyarham juga pernah merakamkan dua lagu pertama ke piring hitam iaitu
Ciumku Lagi (saduran lagu Mexico,
Besame Mucho) pada 1949 dan
Bunga Sakura (lagu Jepun) pada awal kemunculannya dalam bidang nyanyian.
Tidak hanya bergelar penyanyi, ibu kepada lima anak itu juga menceburi bidang lakonan dan pernah berlakon bersama suaminya, Ismail dalam filem berjudul
Pelangi.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments