Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Puteri Khareeza kembali tunjuk bakat ‘Sebenar’


PENYANYI dan pelakon berbakat besar Puteri Khareeza teruja berkongsi buah tangan terbaharunya, sebuah single istimewa berjudul ‘Sebenar’.

Menariknya, single kelima bekas peserta program reliti TV, Big Stage itu terpilih menjadi lagu runut bunyi (OST) drama Khilaf Yang Tertulis, yang kini sedang hangat ditayangkan di TV3 menerusi slot Akasia pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Sebenar yang bergenre pop balada dengan sentuhan elemen rock itu sememangnya bersesuaian dinyanyikan bintang berusia 26 tahun itu yang mempunyai suara 'serak basah'.

Menurut Puteri Khareeza, karya ciptaan komposer serta penulis lirik Omar K dan Firdaus Rahmat itu membawa kelainan dari segi ‘feel’ apabila didengar penonton sebagai lagu OST drama Khilaf Yang Tertulis.

Mengulas lebih lanjut tentang single tersebut, pemilik nama sebenar Puteri Aszfaryna Khareeza Arif itu berkata, proses rakaman hanya mengambil masa selama tiga jam sahaja.

“Proses rakaman agak mencabar kerana lagu ini menguji julat vokal di mana nadanya agak tinggi berbanding lagu-lagu saya sebelum ini. Walaupun bergenre pop ballad, tetapi penyampaiannya ada sedikit rock yang memberi kelainan dari segi penyampaian, ‘feel’ dan tempo.

"Saya terpukau dalam sekelip mata apabila mendengar demo yang dinyanyikan oleh komposer dan juga penulis lirik Firdaus Rahmat.

"Sebelum ini kami pernah merancang untuk merakamkan lagu bersama atau menyanyikan lagu ciptaannya, tidak sangka ia akhirnya menjadi kenyataan," ujarnya yang kini bernaung di bawah label Alternate Records & Talents.

Lagu Sebenar menceritakan tentang penderitaan hidup seseorang yang sengsara atas kebahagiaan orang lain. Walau bagaimanapun dia tetap teguh berdiri pada paksi cinta sebenar.


Sementara itu, komposer Omar K menyifatkan proses pembikinan lagu tersebut sebagai yang terpantas pernah dilakukan iaitu selama dua hari.

“Tercetusnya idea lagu Sebenar apabila saya tertarik untuk menjadikan lagu ini sebagai suara untuk orang cintanya bertepuk sebelah tangan dari sudut perspektif yang mungkin masyarakat terlepas pandang.

"Puteri Khareeza mempunyai ton suara yang sangat istimewa dan sesuai untuk membawakan lagu ini. Dia cekap dalam melontarkan perasaan dalam lagu dan sentiasa dalam keadaan bersedia ketika proses rakaman.

"Dia mampu pergi lebih jauh kerana ada keunikan karakter rock dalam suaranya. Jika diasah dan dipegang dengan baik, genre ini mampu menjadikan dia seperti ratu rock Malaysia, Ella," katanya yang berharap agar lagu Sebenar dapat menyerlahkan kemampuan penyanyi itu.

Terdahulu single pertama Puteri Khareeza, Duka Sebalik Tawa juga pernah menjadi lagu OST bagi drama popular, Melur Untuk Firdaus, sekali gus turut memberi tempias kepada lagu nyanyiannya itu.

Single yang telah memperkenalkan namanya kepada umum itu berjaya mendapat sambutan luar biasa apabila memperoleh 475 juta tontonan di platform TikTok, 5.4 juta di YouTube dan 2.4  juta pada setiap aplikasi penstriman dalam talian termasuk Spotify.

Kini lagu Sebenar boleh didapati di pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
[FOTO: Alternate Records & Talents & Instagram Puteri Khareeza]

Post a Comment

0 Comments