Hot Posts

6/recent/ticker-posts

ICSYVMY musim baharu riuh dengan barisan panel penyiasat baharu


SEJAK diperkenalkan, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) telah mencipta fenomena tersendiri dengan pengikutnya yang setia.

ICSYVMY merupakan program realiti hiburan di Malaysia yang mendapat sambutan hangat saban tahun dengan capaian sehingga 14 juta tontonan sepanjang enam musim.

Program yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan itu tampil dengan konsepnya yang unik, menjadikan ia terus mendapat tempat di hati peminat dengan kombinasi hiburan, drama dan teka-teki yang mencabar.

ICSYVMY kini kembali menerusi musim ketujuh dengan penampilan penyanyi-penyanyi misteri bersama barisan panel tetap baharu yang terdiri daripada selebriti terkenal tanah air.

Bakal bersiaran sebanyak 11 episod, penonton akan dihiburkan dengan gelagat barisan panel penyiasat tetap baharu yang terdiri daripada Naim Daniel, Riena Diana, Bell Ngasri dan Siti Khadijah Halim.

Sementara artis dan panel penyiasata jemputan pula adalah Sharif Zero, Chacha Maembong, Amy Mastura, Janna Nick, Khai Bahar, Adira Suhaimi, Ryan Bakery, Azhan Rani, Anna Jobling, Nadeera, Ernie Zakri, Datuk Yusof Haslam, Marsha dan ramai lagi.

Masih mengekalkan Izzue Islam dan Shiha Zikir sebagai hos, musim baharu itu akan membuka tirai bermula 23 Jun ini, setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Penonton juga boleh strim langsung secara HD menerusi Tonton di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.



Berbeza dari musim yang lalu, musim ini akan menampilkan artis jemputan bukan hanya terdiri daripada kalangan penyanyi sahaja, bahkan juga pelakon dan pelawak. Malah penonton juga akan menyaksikan ICSYVMY tampil dengan tema pakaian berbeza seperti Seram, Bollywood, Rock dan Retro di episod tertentu.

Penerbit Eksekutif ICSYVMY, Jamil Hassan, berkata, edisi ketujuh program itu akan menjanjikan banyak elemen baharu dan menarik.

"Penonton akan dapat menyaksikan gelagat lucu yang pasti dapat menceriakan malam mereka. Kami telah berusaha keras untuk memastikan setiap episod lebih menghiburkan daripada sebelumnya,” ujarnya.

ICSYVMY akan menyaksikan barisan panel tetap dan panel jemputan diberikan peluang sebanyak empat pusingan bagi membantu artis jemputan untuk memilih penyanyi sebenar.

Program muzik misteri ini memerlukan kata sepakat bagi mengenal pasti dan membuat keputusan siapakah penyamar yang perlu disingkirkan. Seperti biasa, artis jemputan akan memperoleh bantuan dari panel penyiasat tetap dan panel penyiasat jemputan untuk mengenal pasti penyamar dan penyanyi sebenar pada setiap episod.

Jika peserta yang berjaya mara ke pusingan akhir ialah seorang penyamar, dia bakal memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000. Namun jika dia adalah penyanyi sebenar, akan berpeluang menyertai Alternate Records & Talents dan merakamkan single bersama komposer terkenal. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

[FOTO: TV3 - Terima Kasih Efendi Amir]  

Post a Comment

0 Comments