MENDAPAT sambutan hangat ketika ditayangkan pada 26th Far East Film Festival di Udine, Itali, Mei lalu, seterusnya meledak di pawagam Hong Kong, Customs Frontline bakal menjengah pawagam Malaysia mulai 5 Julai ini.
Filem aksi mega hasil garapan pengarah berkaliber, Herman Yau itu bukan sebuah naskhah klise tentang barisan hadapan (frontline) biasa, tetapi mengangkat kepayahan, semangat juang dan kecekapan anggota Kastam Hong Kong membenteras jenayah global termasuk penyeludupan senjata api yang jarang memfokus atau menonjolkan kepakaran anggota badan itu.
Menerusi Customs Frontline, penonton akan didedahkan dengan kecekapan para anggota kastam membenteras jenayah melalui kesan lakon layar terbaik yang diterajui Erica Li dan Eric Lee.
Menariknya filem ini turut membariskan bintang-bintang hebat yang sudah diakui kemampuan mereka dalam menjayakan watak-watak sebegitu.
Paling mencuri perhatian, tentunya penampilan perdana legendaris Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat dalam dunia lakonan untuk bergandingan mantap bersama Nicholas Tse, Karena Lam dan Yase Liu, selain Francis Ng sebagai penampilan khas.
Apa yang pasti, Customs Frontline dipenuhi dengan babak aksi dan klimaks tanpa henti yang akan memberian keterujaan berganda buat penonton. Selain itu, ia juga bakal membuatkan anda mempunyai sudut pandang dan dimensi berbeza tentang pekerjaan unit beruniform pegawai kastam yang jarang ditonjolkan.
Naskhah ini menceritakan tentang dua pegawai Kastam Hong Kong, Chow Ching-lai lakonan Nicholas Tse dan Cheung Wan-nam (Jacky Cheung) merupakan pasangan mentor dan anak didik yang cukup akrab.
Ching Lai telah diarahkan bekerjasama dengan Interpol menyelesaikan kes penyeludupan senjata api. Namun Wan-nam telah membuat keputusan yang menjadikan siasatan kes tersebut lebih rumit. Di sinilah konflik mula tercetus dan membawa kepada pelbagai kejadian tidak terduga yang harus ditempuhi mereka.
Babak aksi
Dalam pada itu, Nicholas Tse, 43, yang menjayakan karakter Chow Ching Lai turut menjadi koreografer aksi buat pertama kali dalam filem yang digarap selama dua tahun ini.
Salah satu babak mencemaskan Jacky, Nicholas dalam Customs Frontline |
Nicholas menzahirkan keterujaan dalam pembabitan filem ini bukan hanya kerana berganding dengan pesohor seperti Jacky Cheung tetapi bagaimana dia merealisasikan babak aksi yang menjadi dambaan selama ini.
“Sewaktu kecil saya selalu meniru aksi Jackie Chan dan Donnie Yen. Jika ditanya, secara jujur saya akan meneruskan tradisi merisikokan diri untuk melakonkan babak aksi dalam filem Hong Kong.
“Atas sebab itu saya turut menjadi koreografer aksi buat pertama kali dalam sejarah lakonan menerusi Customs Frontline,” ujarnya.
Pemenang Aktor Terbaik dalam Hong Kong Film Award ke- 31 itu juga mahu terus membawa semangat dan dedikasi yang pernah ditonjolkan mendiang pengarah Benny Chan menerusi dunia sinema Hong Kong seperti dalam filem Gen-X Cops, New Police Story, Shaolin dan Raging Fire.
Sementara itu, Jacky Cheung pula menyifatkan gandingan bersama Nicholas sebagai satu sinergi yang hebat.
“Saya melihat Nicholas serta Karena membesar dan sinergi mereka sangat menonjol bersama saya di Customs Frontline,” akuinya.
Jangan ketinggalan menonton Customs Frontline di pawagam berdekatan bermula 5 Julai ini. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments