KUALA LUMPUR: Bekas wartawan hiburan terkenal era 1980-an dan 1990-an, Huzz meninggal dunia akibat kanser usus tahap empat di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, petang Sabtu.
Allahyarham Huzz atau penuhnya Kamal Huzaini Kamaludin, menghembuskan nafas terakhir di kediaman abangnya sekitar jam 6.10 petang pada usia 58 tahun.
Berita duka itu disahkan adik perempuannya, Nurul Afida Kamaludin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA menerusi satu hantaran ringkas di laman Facebook.
Huzz yang juga bekas Pengarang Majalah URTV terbitan Utusan Karya itu sebelum ini dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Mac lalu bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada usus, kemudiannya disahkan menghidap kanser usus.
Selepas dibenarkan keluar dari HKL, pada 31 Mei lalu, Allahyarham dibawa ke rumah abangnya di Bertam untuk rawatan susulan, sebelum kesihatannya bertambah merosot beberapa hari selepas itu.
Selain dikenali sebagai wartawan berkaliber, Allahyarham merupakan penulis lirik dan pernah menghasilkan lirik lagu Keangkuhanmu, nyanyian Ramlah Ram.
Allahyarham memulakan kerjaya kewartawanan bersama akhbar Harian Nasional pada 1980-an, manakala jawatan terakhirnya sebagai Pengarang URTV di Utusan Karya Sdn Bhd, sebelum syarikat penerbitan itu menutup operasi pada 2019. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments