BIARPUN lama tidak membuat comeback dengan muzik dan karya terbaharu, bintang K-Pop, G-Dragon berkongsi perkembangan terbaharu dengan peminatnya apabila dilantik sebagai profesor jemputan di Fakulti Kejuruteraan, Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST) pada 4 Jun lalu.
Menurut laporan media tempatan, pelantikan G-Dragon atau nama sebenarnya, Kwon Ji-yong, 36, adalah bertujuan untuk meningkatkan daya saing global pelajar menerusi seni dan budaya. Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha untuk mempromosikan KAIST di peringkat antarabangsa.
Difahamkan anggota Big Bang itu bakal mengajar subjek berkaitan kepimpinan dan dalam masa sama berkongsi pengalamannya sebagai anak seni kepada mahasiswa sarjana dan pasca sarjana.
Mengulas tentang perlantikan itu, G-Dragon berkata, ia merupakan atu penghormatan buat dirinya dan berjanji untuk melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaiknya.
"Ini merupakan satu penghormatan bagi saya apabila dilantik sebagai profesor jemputan di KAIST yang sudah melahirkan ramai pelajar bijak pandai dalam bidang sains.
"Saya mengharapkan berlaku sinergi besar atau 'Big Bang' melalui gabungan antara ilmu dalam teknologi dan pengalaman saya dalam bidang hiburan," katanya sebagaimana dipetik daripada The Korea Herald.
Penyanyi yang poplar dengan lagu Fantastic Baby itu akan memegang peranan berkenaan selama dua tahun, bermula Jun tahun ini sehingga 2026.
KAIST dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya dan penyanyi berbakat itu akan berkolaborasi dalam mempromosikan budaya dan kandungan berkaitan seni Korea.
Rata-rata peminat memberikan reaksi positif dengan perkembangan tersebut dan menyifatkan ia bersesuaian dengan G-Dragon yang sememangnya cukup dikenali sebagai seniman genius dan berprestasi. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments