TIDAK pernah mengeluarkan karya khas sempena hari kebesaran seperti Aidilfitri bukan bermakna kugiran gergasi dan legenda tanah air, Search enggan ikut serta memeriahkan pasaran dengan lagu sedemikian.
Ironi, usia lebih tiga dekad Search meski tanpa kelahiran lagu Raya juga sudah cukup bermakna buat peminat.
Namun, 2024 menjadi tahun bersejarah buat Search dan peminat apabila kugiran yang dianggotai Datuk Amy, Nasir, Man Kidal dan Hillary ini terbit dengan karya perdana sempena meraikan hari kemenangan umat Islam.
Sujud Aidilfitri menjadi karya Aidilfitri ulung yang akhirnya diterbitkan kumpulan ini sempena merayakan bulan mulia.
Tidak meninggalkan kentalnya genre rock dan balada serta ciri khas vokal Amy yang sudah sebati dengan Search menerusi lagu-lagu yang telah dihasilkan sejak lebih 30 tahun lalu, Sujud Aidilfitri juga dibalut dengan nuansa serupa.
Tidak ada yang extravaganza mengenai Sujud Aidilfitri namun mesej yang ingin disampaikan Search kepada seluruh pendengar sampai menerusi bait lirik yang dihasilkan.
Menurut Amy yang juga vokaslis Search, Sujud Aidilfitri memiliki lirik yang menyentuh dan beremosi sesuai dengan suasana hari 'kemenangan' itu sendiri.
“Lirik dalam Sujud Aidilfitri lebih bersifat kepada muhasabah diri, merenung kekhilafan yang telah dilakukan seterusnya dengan rendah hati memohon kemaafan.
“Ini Aidilfitri, hari kemenangan dan 1 Syawal secara tradisi dimulakan dengan bermaafan sebelum umat Islam menyambutnya dengan penuh bahagia.
“Inilah yang disampaikan dalam ini. Sebuah sengketa dapat terhapus dengan satu kemaafan yang sejati,” ujarnya.
Sementara Nasir pula berkata, keputusan merakamkan lagu raya tersebut adalah sebagai sebuah usaha menghidupkan budaya memiliki lagu raya yang semakin jarang dirakamkan kerana pendengar lebih memilih mendengar lagu raya lama yang bersifat malar segar.
“Tidak dinafikan saban tahun akan ada lagu raya baharu dirakamkan tetapi dengan genre atau suasana lagu yang lebih cenderung meriah atau bersifat keraian.
“Jadi Search memilih nuansa yang lebih kental dari melodi dan liriknya sesuai dengan kematangan kami,” katanya selaku pemain bass.
Dipasarkan oleh Universal Music, single raya yang kini sudah mula boleh didengari di corong radio itu turut memiliki klip video yang dijalankan di Terengganu.
“Search amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu kerana kolaborasi yang terjadi untuk melancarkan klip video Sujud Aidilfitri.
“Kami sengaja memilih Terengganu kerana mahu memiliki suasana desa, damai dan bersesuaian dengan keseluruhan konsep lagu ini,” ujar Search mengenai klip video yang diarahkan oleh Datuk M. Razlan Ismail.
ARTIKEL LAIN: rollercoaster-muzik-emosi-satwo-di
ARTIKEL LAIN: dilemma-kebangkitan-kaka-azraff
ARTIKEL LAIN: aisha-retno-aziz-harun-raikan-peminat
[FOTO: Terima kasih Opie]
0 Comments