Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Perbelanjaan melanjutkan pelajaran adalah 100% pembiayaan sendiri" - Jasmine Suraya



PELAKON Jasmine Suraya kesal apabila kenyataannya berkenaan isu tajaan untuk anak seni melanjutkan pengajian dalam bidang terbabit disalah ertikan segelintir pihak sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan perdebatan.

Susulan itu, Jasmine, 35, tampil membuat penjelasan, sekali gus menyangkal dakwaaan yang mengatakan dia ada menerima dana daripada kerajaan untuk pembiayaan pengajiannya di peringkat ijazah sarjana di Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg, Los Angeles di Amerika Syarikat, April ini. 

"Kebelakangan ini terlalu banyak kenyataan saya disalah erti dan mengelirukan. Kenyataan yang mengatakan pihak kerajaan   memberikan dana kepada saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah tidak benar sama sekali.

"Untuk pengetahuan semua pihak, seluruh pembiayaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara termasuk perbelanjaan harian saya di sana adalah sepenuhnya di bawah tanggungan saya sendiri.

"Kenyataan yang telah dikeluarkan sebelum ini telah disalah-ertikan dan telah membuka ruang kepada pelbagai andaian yang jauh daripada konteks sebenar," tegasnya menerusi satu hantaran yang dilakukan di akaun Instagram miliknya pada Jumaat.

Jelasnya lagi, pertikaian timbul apabila ada pihak yang salah faham dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkenaan isu terbabit sehingga mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen dengan mendakwa dia menerima dana daripada kerajaan.

"Menteri Fahmi Fadzil tidak pernah sesekali bersetuju untuk memberikan dana atau bantuan. Walau bagaimanapun, beliau telah menyatakan dengan jelas dalam satu temubual, akan meneliti isu dana untuk anak-anak seni.

"Jawapan yang diberikan ini adalah atas kapasiti menjawab soalan daripada pada pihak media namun telah disalah ertikan," katanya.

Dalam perkongsian sama, bintang filem Paskal itu menegaskan, dia tidak pernah  memohon dana secara terus kepada pihak kerajaan atau badan-badan lain yang tiada kaitan dengan bidang seni di Malaysia.

"Saya mengakui ada mencuba memohon dana dan menghantar kertas cadangan berkenaan idea bagaimana untuk membangunkan lagi industri seni tempatan.

"Saya tidak mengharapkan sepenuhnya bantuan kewangan kerana saya sudah membuat persiapan dari segi kewangan sejak awal lagi. Saya ada menyatakan kegusaran tentang nasib anak seni lain yang berbakat tetapi tidak berkemampuan.

"lngin saya tegaskan sini, saya tidak pernah  memohon dana secara terus kepada pihak kerajaan atau badan-badan lain yang tiada kaitan dengan bidang seni di Malaysia," katanya.

Jasmine yang merupakan alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta Enfiniti Academy berharap agar kenyataannya itu dapat menjernihkan keadaan, sekali gus menamatkan segala spekulasi yang timbul.

"Saya berharap agar kenyataan ini dapat menjernihkan keadaan dan memberikan gambaran sebenar tentang perkara ini.

"Saya juga berharap agar perkara ini akan membuka mata pelbagai pihak terutamanya badan-badan berkaitan untuk lebih fokus dan membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak seni lain yang berbakat dan berkelayakan.

"Saya mahu fokus sepenuhnya kepada pengajian saya yang akan bermula pada April ini," akhirinya.

Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg sebelum ini pernah melahirkan beberapa graduan yang kini sudah bergelar pelakon hebat termasuk Angelina Jolie, Chris Evans, Scarlett Johansson dan Lady Gaga. - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments