PERSIAPAN hari raya Aidilfitri tentunya lebih meriah dengan iringan lagu raya yang menghangatkan suasana.
Tidak mahu ketinggalan, barisan artis naungan Rocketfuel Entertainment iaitu Nadeera, Wani Kayrie dan Indah Ruhaila tampil bergandingan menerusi sebuah single Raya baharu berjudul Balik Raya.
Lagu hasil ciptaan komposer muda berbakat, Rushdan yang tampil dalam nuansa pop moden dengan elemen klasik itu mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan.
Berkongsi pengalaman pertama merakamkan lagu Raya, Nadeera menyifatkan ia sebagai momen yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila dan bakal menjadi kenangan manis buatnya.
“Alhamdulillah saya rasa bersyukur dan gembira kerana dapat menghasilkan lagu Raya ini bersama penyanyi-penyanyi hebat seperti Wani Kayrie dan Indah Ruhaila.
“Sebagai artis baharu, Raya kali ini lebih istimewa kerana mendapat ucapan Raya daripada peminat-peminat saya.
"Cuma sambutan Aidilfitri kali ini mungkin tidak banyak bezanya kerana setiap tahun saya akan bersama keluarga dan memilih untuk bersederhana sahaja," ujarnya.
Sementara itu, Wani Kayrie, pula mengakui teruja untuk pulang beraya di kampung halamannya di Sabah, meski sibuk dengan jadual kerja yang padat.
“Sebagai anak seni yang bekerjaya dalam mencari rezeki, bila tibanya Hari Raya pasti saya akan meluangkan masa untuk pulang ke kampung halaman di Sandakan, Sabah bertemu dengan keluarga tercinta.
“Pengertian 'Balik Raya' itu bukan sahaja semata-semata pulang ke kampung, tetapi lebih lagi sebagai umat Islam kita hanya merayakan Lebaran setahun sekali.
"Jadi rebutlah peluang ini untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga, manfaatkanlah masa bersama dengan sebaiknya. Pengertian bahagia itu hanya dengan bersederhana, bukannya serba-serbi baharu tetapi lebih mensyukuri dengan adanya orang-orang tersayang kerana pasca bencana Covid-19 yang lalu, ramai yang kehilangan ahli keluarga," katanya.
Bagi Indah Ruhaila pula, sebagai keluarga baharu Rocketfuel Entertainment, pengalaman merakamkan muzik video (MV) Balik Raya menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.
"Bayangkan kami melakukakan proses penggambaran MV selama 24 jam di Sekinchan. Kesemuanya 'wrap' sekitar jam 5 pagi dan dilakukan sebelum bulan puasa lagi.
"Paling seronoknya dapat bekerjasama dengan rakan-rakan artis lain di bawah satu bumbung. Malah saya dan Wani juga sempat mencipta koreografi sendiri sewaktu penggambaran. Semoga menjadi 'dance challenge' di media sosial nanti," katanya.
Dalam pada itu, penyanyi asal Johor Bahru itu sempat berkongsi kenangannya pada Ramadan di mana dia menimba pengalaman berniaga di bazar Ramadan ketika berusia 15 tahun.
“Waktu itu, seronok sangat walaupun kadang-kadang hujan dan paras air naik, saya tetap meneruskan perniagaan bersama keluarga.
"Pengalaman itulah yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, selain kenangan dapat berjumpa sanak-saudara dan berkumpul beramai-ramai di hari bahagia," imbaunya.
Nadeera, Wani dan Indah masing-masing berharap agar lagu tersebut akan berkumandang setiap kali Hari Raya menjelma serta menjadi siulan ramai orang dan terus menjadi evergreen.
"Semoga lagu Balik raya daripada kami dapat diterima baik oleh semua pendengar kerana melodinya yang easy-listening dan malar segar," kata mereka yang ditemui pada pelancaran MV lagu Balik Raya yang diadakan di Centre Court, Pavilion Bukit Jalil baru-baru ini.
Lagu Balik Raya boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Sementara MV pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN: inteam-khai-bahar-gamit-nostalgia
ARTIKEL LAIN: impian-vin-jadi-kenyataan-nail-jadi
ARTIKEL LAIN: kembara-nabawi-aina-abdul-berikan
[FOTO: Rocketfuel Network - Terima Kasih Joe Saiful]
0 Comments