Mengulas tentang single terbaharu itu, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, berkata, lagu tersebut menyampaikan pesanan yang sangat mudah, iaitu tentang persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Lagu ini memaparkan tema-tema umum yang sering ditampilkan dalam banyak lagu raya yang lain. Ia menggambarkan kekecohan persiapan di pagi raya sambil bertanyakan hal-hal biasa seperti sudahkah baju raya dibeli, sama ada juadah hari raya sudah siap dan sebagainya.
"Secara tidak langsung ia juga mencerminkan keseronokan suasana berhari raya tanpa mengira status dan generasi. Dari situ juga saya memasukkan unsur tradisional lagu ini, iaitu rentak joget untuk menjadikannya lebih rancak dan menarik,” ujarnya.
“Sebenarnya ia sebuah lagu yang lahir secara spontan pada tahun lalu. Ketika itu saya teringin mempunyai sebuah lagu raya sendiri kerana tidak mahu ketinggalan menjadikannya kandungan di platform media sosial TikTok.
"Kebetulan pada waktu itu saya sedang bekerjasama dengan Aisha untuk lagu Jarak, jadi saya bertanya pada Aisha jika dia sudi bantu menulis lagu ini bersama. Aisha bersetuju dan kami pun menyiapkan apa yang sempat dan memperkenalkannya di media sosial.
"Kami tak menyangka lagu itu mendapat sambutan baik daripada para pengikut di media sosial, khasnya di laman TikTok. Lantas kami mengambil keputusan untuk merakam dan menyiapkannya dengan betul supaya dapat dilancarkan tahun ini sebelum Aidilfitri,” jelasnya.
Tambah Aziz lagi, proses rakaman lagu tersebut tidak berdepan banyak halangan dan berjalan dengan lancar.
“Proses rakaman sebenarnya sangat cepat. Pihak pengurusan saya menguruskan pertemuan dengan Aisha serta Glowrush penerbit kami, dan menyiapkannya dalam masa beberapa jam sahaja.
"Masing-masing hanya memerlukan tiga jam setiap seorang untuk proses rakaman vokal di dalam studio. Saya masih ingat ia terjadi pada hari Ahad dan lagu itupun sudah hampir siap.
"Kami hanya perlu memasukkan bahagian ‘bridge' dan rangkap kedua kerana bahagian pertama lagu sudah pun dikeluarkan di media sosial pada tahun sebelumnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aisha, 24, berkata, mereka berdua senang bekerjasama kerana keserasian sudah wujud sejak berduet lagu Jarak sebelum ini. Apa yang berbezanya hanyalah tema lagu duet kali ini adalah lagu Hari Raya.
“Aziz seorang yang sangat berbakat dan kami berkongsi minat yang sama dalam muzik. Dengan hasil kerjanya yang terbukti hebat dan komitmennya yang berterusan, saya tidak ragu-ragu untuk berkolaborasi lagi dengannya.
"Lagipun saya memang dah lama inginkan lagu raya sendiri dan sekarang terhasillah duet ini. Saya rasa ia mampu pergi jauh sebagai salah satu koleksi duet kami bersama,” ungkapnya teruja.
Berkongsi mengenai muzik video lagu Ketipak Ketipung Raya, jelas pemenang Persembahan terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-38 baru-baru ini menjelaskan, mereka melalui pengalaman yang cukup manis sepanjang penggambaran berlangsung.
“Ia dirakam sekali harung dan menampilkan warga kerja Faithful Music, iaitu syarikat rakaman naungan Aziz. Suasana yang ditampilkan juga sangat santai dan berjalan dengan lancar. Ini kali pertama Aziz dan saya merakam video muzik secara sekali harung dan hanya perlukan beberapa tangkapan semula sahaja.
"Bagaimanapun saya memang tidak sabar melihat reaksi penonton yang bakal menyaksikan keakraban yang kami tampilkan dalam video muzik ini.
Senada dengan Aisha, Aziz turut mengharapkan perkara sama agar lagu tersebut dapat diterima ramai.“Saya harap anda semua akan menyukai lagu Raya pertama kami ini yang juga memberi penghormatan kepada rentak joget. Saya sengaja menampilkan unsur joget dalam lagu ini dan memberi sedikit nafas baharu supaya ia bakal lebih diminati dan dihargai, khasnya di laman media sosial seperti TikTok,” katanya.
“Saya berharap semua yang sudah menantikan lagu ini sejak tahun lalu berpuas hati dengan hasil yang kami usahakan dan semoga ia menjadi lagu malar segar yang akan sentiasa diingati untuk masa-masa akan datang.
"Kami seronok menghasilkannya dan harap pendengar juga akan berasa seronok mendengarnya,” akhirinya.
Ketipak Ketipung Raya dilancarkan pada 22 Mac lalu dan kini boleh dimuat turun di iTunes serta dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN: meriahnya-balik-raya-bersama-nadeera.html
ARTIKEL LAIN: inteam-khai-bahar-gamit-nostalgia.html
ARTIKEL LAIN: impian-vin-jadi-kenyataan-nail-jadi.html
[FOTO: Faithful Music - Terima Kasih Joe Saiful]
0 Comments