Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Saya sendiri menangis, harap pendengar juga dapat merasainya" - Hafiz Suip



SETELAH beberapa ketika menyepikan diri tanpa sebarang karya baharu, penyanyi Hafiz Suip tiba-tiba hangat menjadi sebutan dan perbualan di media sosial. Imej berambut hijau yang ditampilkan baru-baru ini mengejutkan ramai pihak sehingga mencetuskan pelbagai andaian.

Namun penampilan tersebut rupa-rupanya hanyalah gimik daripada Hafiz atau nama lengkapnya, Mohamad Hafiz Mohamad Suip, sebelum tampil dengan single terbaharu berjudul  Terus Bersinar. Karya terbitan syarikat rakaman Nova Music itu merupakan lagu ciptaan ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito serta lirik oleh Datuk Arisz Ab Rahman JP, Mas Dewangga serta Jova Devito.

Bercerita mengenai lagu tersebut, penyanyi berusia 33 tahun itu berkata, Terus Bersinar yang bergenre balada itu membawa mesej untuk anak.

“Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang semua orang lalui. Contohnya, lirik lagu Matahari mengisahkan hubungan kesusahan adik-beradik. Awan Nano pula menceritakan pengorbanan seorang ayah, manakala lagu Kisah Cinta Kita adalah terjemahan kasih sayang antara suami dan isteri.

“Jadi, untuk lagu ini pula, mesej yang ingin disampaikan adalah mengenai anak. Boleh dikatakan, dalam karier saya, setiap lagu ada jalan ceritanya yang tersendiri dan semua lagu itu juga ada kisah kehidupan yang mempunyai mesej,” katanya.

Hafiz bersama wakil Nova Music, Rosmin Hashim pada majlis pelancaran single Terus Bersinar baru-baru ini.


Menurut Hafiz lagi, pertama kali mendengar melodi lagu tersebut, dia terus jatuh cinta dan teruja menjadikannya sebagai single terbaharu.

“Lagu ini masih lagi bergenrekan balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, itu pun pada penghujung lagu.

"Masa pemilihan lagu ini, saya dengar lagu ni memang terus tertarik dengan melodi dan lirik. Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk rakamkan sebagai single terbaru saya. Kalau baca setiap bait lirik lagu ini, memang sesuai ditafsir berkaitan anak.

"Saya percaya lagu ini nanti insya-ALLAH mendapat tempat di hati pendengar. Begitu juga dengan video muziknya yang mana memang menceritakan mengenai ibu bapa yang menjaga dan membesarkan anak daripada kecil hingga besar. Pendek kata, anak itu ditatang bagai minyak penuh,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Mas Dewangga, bintang asal Sarawak itu bertuah kerana dapat merakamkan lagu ciptaan komposer yang kian meningkat naik dengan sentuhan tersendiri yang diyakini mampu menarik perhatian pencinta muzik tanahair.

“Mas Dewangga seorang komposer yang bagus di mana bila saya dengar karya dihasilkan semuanya segar dan memang trend masa kini. Lagu balada yang dihasilkan diberi sentuhan yang membuatkan lagu itu bertambah sedap didengar.

“Macam sekarang, peminat suka dengan lagu-lagu balada dari Indonesia. Jadi, apa saya perasan, karya Mas Dewangga pun ada sentuhan bunyi itu. Kebetulan saya pun suka,” katanya.



Dalam pada itu, Hafiz berharap lagu Terus Bersinar bakal menjadi sebuah karya pilihan dan diterima ramai seperti kebanyakan lagu-lagunya sebelum ini.

“Insya-ALLAH, apa-apa pun kita berserah kepada ALLAH dan tidak mahu terlalu berharap. Apa-apa pun, saya sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu ini, dapat rasa mesej yang ingin disampaikan.

"Saya sendiri menangis. Jadi, harapnya peminat dan pendengar juga dapat merasainya, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, lagu tersebut turut dipilih menjadi lagu tema drama bersiri 30 episod terbitan Mache All Star United berjudul Surat Dari Tuhan yang bersiaran di slot Samarinda, TV3.

Single Terus Bersinar kini boleh distrim di semua perkhidmatan penstriman muzik, manakala video muzik rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music.




[FOTO: Nova Music]


Post a Comment

0 Comments