KUALA LUMPUR: Konsert penyanyi legenda kelahiran Malaysia, Datuk Shake yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Disember ini telah ditunda.
Pihak penganjur, InTour Live Events dengan kerjasama iMe Entertainment Group dan Datuk Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bahweres, 73, dalam satu kenyataan kepada media memohon maaf kepada peminat atas penundaan tersebut.
"Dukacita dimaklumkan bahawa Konsert Datuk Shake Zepp KLyang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember di Zepp Kuala Lumpur telah ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
"Pihak penganjur dan Datuk Shake memohon maaf di atas penundaan ini terutama buat pembeli tiket konsert ini," ujarnya.
Dalam kenyataan sama, pihak penganjur menegaskan konsert itu hanya ditangguhkan sementara dan akan kembali dengan tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.
“Konsert ini ditunda dan bukan batal. Ia bakal pindah ke tarikh lain apabila situasi menjadi lebih baik untuk menyambut dan meraih persembahan Datuk Shake. Kami memohon maaf kepada para peminat," katanya.
Kenyataan itu juga memaklumkan kepada pembeli tiket yang ingin menuntut bayaran balik, boleh menghubungi talian Ticketcharge di talian 03-92228811.
Datuk Shake yang kini menetap bersama keluarga di Perancis memulakan kerjaya nyanyian sekitar tahun 1970-an dan cukup popular dengan lagu-lagu seperti Ummi, Anugerah Dari Kegagalan, Lina dan lain-lain. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN: konsert-star-on-fire-ditangguhkan
ARTIKEL LAIN: gv10-akur-tersingkir-langkah-aliff-aziz
ARTIKEL LAIN: coldplay-atasi-rekod-siti-nurhaliza
0 Comments