TAHUN 2020 meninggalkan seribu satu kenangan manis kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza di atas beberapa pencapaian dan anugerah yang diperolehi beliau termasuk kejayaan menerusi album ManifestaSITI2020.
Di antara kejayaan yang beliau capai ialah Artis Paling Banyak Distrim di platform Spotify dan JOOX, 100 Asia Digital Star, Most Admired Women 2020, 500 Influential Muslim 2021, Nona Homegrown Award dan Individu Tergempak (Astro Gempak).
Selain itu, dua buah lagu dari album ManifestaSITI2020 iaitu 7 Nasihat dan Aku Bidadari Syurgamu layak ke pertandingan akhir Juara Lagu. Terbaru, video muzik ke-tujuh dari album tersebut, Kuasa Cintamu, telah mendapat lebih dua juta tontonan.
Sebagai pembuka tahun baharu 2021, sebuah lagi video muzik daripada penyanyi ini akan dilancarkan iaitu Takhta Dunia. Lagu dan lirik Takhta Dunia merupakan ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ryan Kyoto.
Lagu ini mempunyai keunikan tersendiri dari segi melodi dan cara penyampaian Siti Nurhaliza namun intipati lirik yang dihasilkan sangat memberi makna. Bersesuaian dengan maksud liriknya, video muzik kali ini digarap istimewa dengan elemen minimalis teater muzikal.
Pengarahnya, Azhar dari Rasa Film telah menonjolkan peranan penari serta pelakon sebagai medium penyampai mesej teguran secara simbolik.
Sebagai contoh, Azhar menterjemahkan mesej simbolik menerusi lakonan menggunakan telefon bimbit dan pelekap mulut yang membawa maksud, jasad terperangkap di zaman lampau namun kelakuan tetap wujud pada zaman sekarang.
Video muzik ini berlatarbelakangkan tahun 1970-an di sebuah stesen keretapi yang dinamakan Lipis Sentral. Lokasi penggambaran diadakan di ruang pameran luar Muzium Sultan Alam Shah yang menempatkan kepala dan gerabak keretapi lama.
Bagi mengupas lirik lagu ini, Takhta Dunia sarat nilai moral kerana mengingatkan supaya setiap orang bersikap baik, menjauhi hasad dengki serta menjaga tutur kata. Apabila ini menjadi amalan, hati seseorang akan bersih dan tidak tercela.
Visual lakonan di dalam video muzik ke-8 menerusi album ManifestaSITI2020 ini banyak mengaitkan isu semasa masyarakat iaitu vandalism, berebut kerusi atau tidak bertolak ansur di dalam pengangkutan awam, buli siber dan juga mencopet atau mencuri.
Siti Nurhaliza menyifatkan video muzik Takhta Dunia sebagai pembuka tahun baharu dengan memberi mesej yang baik kepada masyarakat. Menurut beliau, seiring dengan kemodenan dan perkembangan dunia hari ini, setiap individu tidak harus hilang nilai baik atau adab.
"Sebagai seorang penyanyi, saya bertanggungjawab mengenengahkan mesej yang baik menerusi lagu. Sesuai usia, semakin dewasa dan matang, saya harus menghidangkan karya yang bukan sahaja memberikan hiburan tetapi kesedaran,’’ kata penyanyi yang bakal menyambut usia ke- 42 tahun pada 11 Januari depan.
Beliau telah berbincang dengan pihak Rasa Film untuk tampil menggayakan imej wanita era 70-an bagi memberikan kelainan di dalam setiap video muzik yang pernah dihasilkan. Siti Nurhaliza menggunakan khidmat pereka Rizman Ruzaini dan jurusolek Ahma Dhani bagi imej tersebut.
Video muzik rasmi Takhta Dunia boleh dilayari di saluran youtube Siti Nurhaliza bermula 8 Januari 2021, tepat jam 9 malam.Album ManifestaSITI juga boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer sejak 3 Julai 2020.
CD album ManifestaSITI2020 boleh dilanggan dalam talian di snp.onpay.my.
[KREDIT: Universal Music Malaysia]
0 Comments