Hot Posts

6/recent/ticker-posts

HAQIEM ENGGAN PANJANGKAN ISU PENARIKAN DIRI HERO-HEROIN BIDADARI SALJU DALAM MUZIK VIDEO MIMPI


SETELAH hampir lima tahun bergelar artis di bawah naungan FMC Music, Haqiem Rusli kini melancarkan single ke-14, Mimpi.

Lagu yang menjadi runut bunyi drama bersiri Bidadari Salju yang disiarkan di TV3 itu mendapat perhatian peminat sewaktu episod pertama drama itu ditayangkan di kaca televisyen.


“Ramai yang DM saya dan bertanya kenapa bila cari di YouTube, muzik video rasmi lagu Mimpi tiada? Pertanyaan itu membuatkan saya rasa sangat gembira dan rasa dihargai peminat. 

"Untuk mereka yang ternanti nanti muzik video Mimpi, anda semua boleh menonton di saluran YouTube FMC Music, mulai 7 Januari.

“Bila ramai yang bertanya, saya pula yang rasa teruja seolah olah ini single pertama saya yang baru nak keluar. Lain macam pula rasanya, mungkin lagu ini nak meletop luar biasa kut,” kata Haqiem.


Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli, 23, yang mula dikenali dengan lagu Segalanya dan Tergantung Sepi kini makin berani dan yakin mengetengahkan lagu ciptaan sendiri untuk dipersembahkan buat semua peminat.

Mimpi merupakan single kelima ciptaannya yang dinyanyikan sendiri oleh Haqiem, selain lagu Bangkit, Lembah Kesepian,  Qiemillio dan What Can I Do For You

Namun kali ini Haqiem bergandingan dengan pelakon dan penerbit, Datuk A.Aida untuk menghasilkan lagu dan lirik Mimpi.


“Ini pengalaman pertama saya berkerja dengan Datuk A.Aida  di dalam studio. Saya suka semangat  dan kesungguhan beliau sewaktu bekerja. 

"Saya kagum dengan dia. Bukan sahaja wanita yang berjaya dalam perniagaan, malah ibu tunggal yang gigih tanpa kenal erti putus asa," katanya.

Bila ditanya tentang harapannya untuk lagu Mimpi, Haqiem berkata, Dia mahukan yang terbaik untuk lagu itu.


“Bohong kalau saya kata saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Ini lagu saya mestilah saya harapkan sesuatu dari hasil kerja keras saya. 

"Tahun 2021 ini saya nak orang mengenali Haqiem Rusli bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi saya mahu mencipta jenama sebagai komposer yang disegani seperti Datuk M.Nasir dan Datuk Ahmad Nawab. Itu matlamat dan sasaran saya untuk tahun baru ini," jelasnya.


Bila ditanya tentang permintaan duet dengan artis wanita sebagaimana diharapkan ramai peminat, kata Haqiem, buat masa ini dia hanya mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya nyanyian solo dan penciptaan lagu.


“Buat masa ini saya lebih selesa fokus pada nyanyian solo saya. Bukan tak mahu tetapi nanti dulu. 

"Ada saja penyanyi wanita yang ajak saya berduet, tetapi saya menolak dengan cara baik kerana bagi saya biarlah saya betul betul sukses dengan lagu solo dan lagu-lagu ciptaan saya dulu. 

"Ramai juga yang minta saya buat lagu untuk mereka tetapi memandangkan waktu saya agak terhad,  saya mohon maaf jika tidak dapat memenuhi permintaan mereka buat masa ini," katanya. 


Bercakap tentang muzik video Mimpi, terdengar desas desus mengatakan bahawa terdapat sedikit permasalahan dan salah faham telah berlaku.

Mengikut perancangan asal, sepatutnya hero dan heroin drama Bidadari Salju turut berlakon dan muncul dalam muzik video Mimpi, tetapi di saat akhir mereka menarik diri.


“Saya tidak pasti apa yang berlaku kerana pihak produksi muzik video yang berhubung dan berurusan dengan mereka. 

"Apa yang pasti saya telah menyatakan pendirian saya bahawa jika ada pelakon atau model wanita yang ingin ditampilkan dalam muzik video saya, mereka perlulah bertudung (menutup aurat). 

"Jika tidak, maaf saya tidak setuju," tegas Haqiem.


Menurut sumber, pelakon wanita dan lelaki itu telah tiba di lokasi pengambaran muzik video, tetapi setelah siap mekap dan menjelang tengah hari, berlaku sedikit perbincangan dan dengarnya ada salah faham.

Akhirnya mereka pulang dan terpaksa digantikan dengan model sahaja. Isu tersebut mungkin berkaitan dengan pemaikan tudung.


“Saya tak nak mengulas lanjut tentang isu ini kerana saya kurang jelas apa yang berlaku. Urusan pelakon tersebut diuruskan sepenuhnya oleh pihak produksi. 

"Tambahan pula mereka memang pelakon dalam drama 28 episod, Bidadari Salju yang mana lagu Mimpi menjadi runut bunyi untuk drama tersebut. 

"Bagi saya tidak menjadi masalah dan akan lebih meriah jika mereka sudi untuk turut serta dalam muzik video saya kali ini,” ujarnya.


Akui Haqiem, dia enggan memanjangkan kisah di sebalik penarikan diri di saat akhir pelakon drama tersebut.


“Bagi saya, semua perkara Allah yang tentukan. Mungkin bukan rezeki saya untuk bersama mereka dalam muzik video Mimpi. Jadi saya OK saja, tidak marah atau merasa kecil hati. 

"Walaubagaimana pun saya berterima kasih kerana mereka ada niat untuk bantu saya menjayakan muzik video ini," katanya.


Semoga lagu Mimpi ini mendatangkan tuah buat Haqiem dan Datuk A.aida, selaku pencipta dan penulis lirik bersama dalam lagu ini.


“Saya harap single kali ini berjaya mencatatkan tontonan lebih 20 juta mengatasi catatan tertinggi lagu saya sebelum ini iaitu Selamat Tinggal Sayang. 

"Kalau anda sayang saya, sudi sudikanlah tonton muzik video Mimpi dan download lagu Mimpi OK? 

"Lagu ini buah tangan saya di tahun baru 2021 buat semua peminat yang saya kasihi. Kita bagi view lebih 50 juta pula kali ini. Ada berani? ”  ujar Haqiem.





Post a Comment

0 Comments