SELESAI sudah pusingan separuh akhir Lagu Cinta Kita 2 (LCK2) pada hari Ahad yang lepas. Lima pasangan duet telah diumumkan untuk mara ke Lagu Cinta Kita 2 Final yang akan bersiaran secara langsung pada 3 Januari 2021 (Ahad), dari pukul 9.00 hingga 11.30 malam.
Khareez & Nadeera telah dinobatkan sebagai Pasangan Terbaik dengan menduduki tempat pertama di separuh akhir LCK2 sekaligus melayakkan pasangan ini ke pusingan akhir. Mereka juga memenangi produk Nivea bernilai RM500 pada malam tersebut.
Turut mara ke Lagu Cinta Kita 2 Final ialah Syafiq & Serra, Kael & Evie, Iss & Mya dan Adly & Darling. Manakala pasangan Hariz & Mafa dan Fariqwan & Mina telah disingkirkan.
Tirai persembahan dimulakan oleh pasangan hos, Azwan Ali dan Elly Mazlein yang menyanyikan lagu Teringin.
Episod ini menampilkan Fattah Amin dan pelakon utama Gerak Khas The Finale, Erra Fazira sebagai panel cinta untuk berbual tentang topik ‘Karier & Percintaan’.
Persembahan penutup pula dimeriahkan oleh nyanyian duet Erra Fazira dan Naqiu dengan lagu Kita Insan Biasa. Kumpulan Kpop yang sedang mencipta nama, P1Harmony turut menyerikan episod separuh akhir ini.
Menampilkan tema ‘Flora Cinta’’, lagu-lagu persembahan daripada para peserta ialah Iss & Mya (Kabut Serangkai Mawar), Hariz & Mafa (Gadis Dan Bunga), Khareez & Nadeera (Kau Mawarku), Syafiq & Serra (Teman), Adly & Darling (When I Was Your Man), Kael & Evie (Seri Langkat) dan Fariqwan & Mina (Kau Bunga Cintaku).
Selain itu, para peserta juga menjayakan segmen khas yang membawakan lagu Kpop daripada BTS dengan lagunya Dynamite oleh peserta lelaki, manakala lagu Ice-Cream nyanyian Blackpink oleh peserta perempuan.
Pemarkahan setiap peserta akan ditentukan dengan 70% markah daripada barisan juri profesional dan 30% daripada jumlah undian online di laman rasmi Lagu Cinta Kita Musim 2 (www.xtra.com.my/lck2). 2 pasangan yang mendapat markah keseluruhan paling rendah akan berhadapan dengan sesi penyingkiran dimana keputusannya terletak pada panel juri cinta iaitu Ajai, Hael Husaini dan Mas Idayu.
Pasangan Iss & Mya tampil sebagai peserta pertama dengan lagu Kabut Serangkai Mawar. Ajai memuji mereka berdua yang mampu menggubahkan sebuah lagu solo kepada nyanyian duet yang menyebabkan dia lebih meminati versi ini. Mas Idayu juga memuji kedua-duanya sangat serasi dan berjaya menunjukkan dinamik dari awal dan pandai mengimbangi persembahan mereka.
Berlainan dengan genre lagu yang disampaikan sebelum ini, Hariz & Mafa mempertaruhkan lagu rancak Gadis Dan Bunga buat pertama kali di pentas LCK2.
Walaupun mereka berdua keluar dari zon selesa dan menyahut cabaran itu tapi nampak ada kekurangan dalam aspek keserasian dalam nyanyian duet itu. Mafa perlu lebih genit supaya dapat menonjolkan keriangan lagu itu. Malah, Hael juga merasakan persembahan yang lepas lebih bagus daripada pusingan separuh akhir. Jadi, mereka telah gagal ke pusingan akhir.
Khareez & Nadeera sekali lagi menonjolkan kekuatan mereka dalam lagu Kau Mawarku. Keserasian yang terdapat dalam kedua-duanya menzahirkan penghayatan lagu yang sungguh indah. Syafiq & Serra makin lama makin serasi dan berjaya menonjolkan kekuatan mereka dalam lagu Teman.
Mas Idayu berkata, dia sangat terhibur dengan persembahan mereka kerana keserasian itu, segala yang telah dirancang berjaya dijalankan dengan baik.
Persembahan Adly & Darling menerusi lagu When I Was Your Man tidak mendapat markah yang tinggi seperti sebelumnya. Seperti yang dikatakan oleh Hael, mereka adalah peserta yang mempunyai keserasian yang baik.
Pemilihan lagu tersebut tidak dapat menggambarkan keserasian kerana kurang sesuai dengan vokal mereka berdua sehingga meletakkan pasangan ini di tangga paling corot bersama dengan Hariz & Mafa dan Fariqwan & Mina.
[KREDIT: TV3]
0 Comments