Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Naskhah berjiwa besar, Tanah Akhirku pilihan berbeza di Istana Budaya


BERSEMPENA dengan bulan kemerdekaan yang akan disambut pada Ogos ini, pihak penerbit iaitu Gold Ray dan ASWARA dengan kerjasama Istana Budaya bersatu hati patriotism mengangkat teater Tanah Akhirku ke skala yang lebih besar di Panggung Sari, Istana Budaya.

Teater karya Amar Amir ini akan menemui penonton pada 28 Ogos hingga 1 September 2018 di Panggung Sari, Istana Budaya bermula jam 8.30 malam. 

Antara pelakon yang terlibat adalah Mei Fen Lim, Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ, Akmal Ahmad, Alfred Loh, Iskandar Zulkarnain dan Angeline Tan.



Mei Fen Lim pernah mementaskan teater ini sebagai salah sebuah penilaian sewaktu bergelar pelajar tahun akhir Fakulti Teater di Aswara. Walaupun dinilai dari segi lakonan, beliau juga bertanggungjawab sebagai pengolah cerita asal. Beliau begitu komited memastikan cerita tentang penghijrahan awal masyarakat Tiong Hua ke Tanah Melayu dipaparkan dengan teliti melalui naskhah ini.

Menariknya pementasan teater ini mendapat respons yang baik dari banyak pihak dan pihak Istana Budaya berasakan bahawa naskhah ini bersesuaian untuk dipentaskan pada bulan Ogos demi menyemarakkan lagi rasa cintakan negara. Elemen-elemen kemerdekaan dan cinta negara yang terkandung dalam teater ini bakal menaikkan lagi rasa patriotisme penonton.



Tanah Akhirku mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis yang berasal dari tanah besar China ke Tanah Melayu bernama Yue Feng. Yue Feng lari daripada perang saudara dan pecah belah di China bersama adiknya ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan baharu. 

Mereka kemudian bekerja di lombong bijih timah yang dikuasai oleh kumpulan kongsi gelap. Dengan ketidak stabilan politik dan pentadbiran pada ketika itu antara pembesar istana, pihak British dan juga pengusaha lombong, tidak ada langkah mudah untuk meneruskan hidup bagi pekerja-pekerja lombong di situ. 

Yue Feng pula semakin jatuh hati dengan Tanah Melayu yang sudah dianggap sebagai tanah airnya sendiri. Cintanya juga turut mekar terhadap seorang lelaki Melayu.




Tanah Akhirku adalah sebuah naskhah yang mengajak penonton untuk melihat pembentukan negara Malaysia melalui perspektif yang berbeza. Kaum Cina yang telah datang berhijrah ke Tanah Melayu pada era penjajahan British turut memainkan peranan besar dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang majmuk seperti yang ada seperti masa kini. Kita tidak dapat menafikan sumbangan para imigran Cina dan India yang datang untuk memajukan Tanah Melayu dari segi ekonomi dan juga budaya.

Mei Fen berkata, beliau mendapat idea untuk pementasan cerita ini selepas menghabiskan masa belajar di ASWARA. Persekitaran majmuk di kampus ini memberikan Mei Fen pengalaman sebenar masyarakat Malaysia yang dia idamkan. 






Di ASWARA, kepelbagaian budaya diraikan dan setiap pelajar mempunyai peluang untuk memahami budaya asing tanpa perlu meninggalkan akar budaya masing-masing.

Tanah Akhirku akan dipersembahkan di dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris dengan sarikata bahasa. Tiket dengan harga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 dan RM 350 boleh dibeli melalui http://airasiaredtix.com mulai 13 Julai 2018. - 7KLIK 

Post a Comment

0 Comments