Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tiffin Tales: Parkview Café tampilkan sajian warisan penuh nostalgia

Tiffin Tales | FOTO: Parkview Café

Oleh: SORAYA AFNAN

DALAM kepelbagaian warisan kulinari Malaysia, wujud satu simbol yang cukup dekat di hati, bekas tiffin.

Suatu ketika tiffin menjadi pelengkap suasana di rumah dan majlis keramaian, membawa makna kasih sayang, tradisi dan rasa yang menyatukan.

Menghidupkan semula kenangan itu, Parkview Café di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) membawakan Tiffin Tales, satu pengalaman menjamu selera istimewa yang berlangsung bermula 22 April hingga 30 Jun 2025.

Tiffin Tales menampilkan menu mingguan yang berubah-ubah, disajikan dalam tiffin autentik, dan meraikan hidangan klasik Melayu serta Nyonya yang sempurna untuk dinikmati bersama.

Antara hidangan yang ditawarkan termasuk Pai Tee Nyonya, Kari Ayam Kapitan, Asam Udang Nyonya, Nasi Bunga Telang, Rendang Daging Nyonya, Sambal Udang Petai, Nasi Bawang Putih, dan Sagu Gula Melaka.

Menurut Chef Eksekutif KLCC, Hisham Jaafar, inspirasi utama Tiffin Tales adalah memori peribadi yang dikongsi ramai.

"Ramai antara kita membesar dengan kenangan nenek, membuka tiffin yang penuh dengan masakan dimasak sendiri dengan penuh kasih sayang.

"Detik membuka satu demi satu lapisan dengan penuh keterujaan itulah yang ingin kami hidupkan kembali melalui Tiffin Tales.

"Ia bukan sekadar makanan, tetapi cerita keluarga, perayaan dan warisan yang patut dikongsi dan dikenang,” ujarnya.

Dengan harga berpatutan bagi satu set harian (untuk dua orang), pengunjung berpeluang menikmati perjalanan rasa yang bukan sahaja memuaskan selera, tetapi juga menghangatkan nostalgia.

Bukan sekadar sajian warisan, Parkview Café turut menawarkan pemandangan ikonik Menara Berkembar Petronas, menjadikan lokasi ini destinasi wajib buat pencinta makanan dan pengalaman unik.

Terletak di aras satu KLCC, kafe ini menggabungkan rasa tradisional dengan panorama bandaraya yang memukau. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments