KEMBALI dengan buah tangan terbaharu dalam dunia muzik, penyanyi dan pelakon Diana Danielle, tampil melancarkan single terbaharunya berjudul Raja Dusta.
Single ini bukan sekadar lagu, tetapi sebuah karya penuh dengan keberanian dan sindiran nakal. Diana menonjolkan mesej kuat yang memberi ruang kepada wanita dan lelaki untuk meraikan kebebasan mereka selepas melalui hubungan toksik.
Melalui lagu ini, Diana membuka mata pendengar kepada realiti banyak wanita yang terperangkap dalam hubungan yang penuh dengan janji palsu dan harapan yang dimanipulasi.
Menurut Diana, 33, lagu itu merupakan cerminan kepada kekuatan wanita yang sering terperangkap dalam budaya misoginis yang menjadikan mereka mangsa penderitaan secara senyap.
“Saya mahu menghasilkan sesuatu yang lebih rancak dan menyeronokkan, sebagai satu sindiran terhadap situasi saya sekarang.
"Walaupun saya boleh kaitkan lagu ini dengan pengalaman peribadi, ia bukan ditujukan kepada sesiapa secara spesifik.
“Lagu ini mewakili apa yang ramai wanita alami dalam perhubungan seperti janji palsu, harapan yang dimanipulasi, dan akhirnya keberanian untuk bebaskan diri daripada cengkaman hubungan yang tidak sihat,” ujarnya.
Tambah Diana lagu Raja Dusta adalah untuk semua pendengar, walaupun liriknya dibawakan daripada perspektif seorang wanita.
Meskipun liriknya dibawakan daripada perspektif seorang wanita, Diana ingin menekankan bahawa mesej lagu ini adalah bersifat universal dan boleh dikaitkan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira jantina.
“Saya mahu pendengar menikmati lagu ini tanpa rasa benci. Ia mengenai keberanian dan kebebasan untuk membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri. Kita semua pernah berada dalam hubungan yang berat sebelah.
“Jadi, lagu ini adalah peringatan supaya jangan tertipu dengan kata-kata manis jika perbuatan tidak seiring,” tegasnya.
Proses rakaman
Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Diana berkata, proses rakaman Raja Dusta berlangsung dengan penuh keseronokan walaupun ini adalah kali pertama dia bekerjasama dengan penerbit John Jeeves.
Tidak hanya itu, dia juga menerima sokongan tidak berbelah bagi daripada pasukannya termasuk pihak pengurusan Universal Music, pengarah muzik video, para pelakon, kru produksi serta penari latar.
“Saya agak kekok pada mulanya sebab sudah dua tahun tidak muncul dengan lagu baharu. Keyakinan saya sedikit goyah, tetapi semua orang di sekeliling sangat menyokong dan buat saya rasa selesa. Saya harap ini menjadi permulaan yang baik untuk kembali aktif dalam bidang muzik,” katanya lagi.
Menurut Diana, Raja Dusta merupakan cerminan kepada kekuatan wanita |
Dalam pada itu, Diana menjelaskan, proses rakaman video muzik Raja Dusta turut menjadi pengalaman menarik buat dirinya apabila ia membabitkan tarian, pelbagai lokasi dan penggambaran yang panjang di Palm Garden Hotel, Putrajaya.
Ibu kepada dua anak itu menyatakan bahawa walaupun penggambaran mencabar dan memerlukan dia untuk keluar dari zon selesa, dia tetap merasa seronok sepanjang proses tersebut.
“Saya ulang banyak kali perkataan ‘seronok’ sebab memang itulah yang saya rasa. Walaupun mencabar dan di luar zon selesa saya, saya tahu saya perlu biasakan diri dengan rentak ini,” katanya.
Penyanyi yang pernah tampil dengan lagu Bersama Dengan Rindu itu berharap single terbaharnya ini bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi peneman buat mereka yang sedang atau pernah melalui detik sukar dalam hubungan.
“Saya mahu orang menyanyi lagu ini dengan kuat dalam kereta atau semasa mandi. Muzik adalah satu bentuk perayaan dan saya harap sesiapa yang telah keluar daripada hubungan yang menyakitkan dapat meraikan kebebasan mereka dan menghargai keberanian diri sendiri,” akhirinya.
Raja Dusta kini boleh didapati di semua platform penstriman digital, manakala muzik videonya boleh ditonton di YouTube. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات