DANSA Fusion dari Kuala Lumpur mencipta sejarah manis apabila dinobatkan juara Festival Tari Malaysia (FTM) 2025 yang berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada malam Ahad.
Kumpulan yang dibimbing koreografer Muhamad Zakwan Hafizie Zakaria itu menampilkan persembahan unik dan memikat menerusi karya Rampaian Mawar Memujuk untuk kategori Rampaian Tradisional dan Tarian Buyut bagi kategori Tarian Kreatif Malaysia.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan Dansa Fusion membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000 beserta trofi. Mereka juga unggul dengan kemenangan Koreografi Kreatif Malaysia Terbaik dengan hadiah wang tunai RM1000.
Naib juara pula menjadi milik kumpulan Maganda menerusi karya Hikayat Buah Hati (Rampaian Tradisional) dan Ka'asa Tausug (Tarian Kreatif Malaysia). Mereka Kumpulan dari Sabah itu memenangi hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi. Maganda juga memenangi Busana Kreatif Malaysia Terbaik dengan hadiah Wang tunai RM1,000.
Diikuti tempat ketiga yang dimenangi oleh Akar Seni Malaysia (Kelantan) menerusi Rampaian Pata Timo (Rampaian Tradisional) dan Kuda Hijau Jelma Dewa (Tarian Kreatif Malaysia), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000.
Sementara itu kategori Koreografi Rampaian Tradisional Terbaik dan Busana Rampaian Tradisional Terbaik masing-masing menjadi milik kumpulan Le'Waris (Universiti Malaysia Kelantan) dan Kesuma (Universiti Malaya).
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Kumpulan Maganda (Sabah) | FOTO: JKKN |
Kumpulan lain yang turut bertanding di pentas akhir ialah kumplan Gabungan Budaya Darul Takzim (Johor), Gahrentak Arts & Culture (Sarawak) dan Dance Troupe FMSP (Universiti Perguruan Sultan Idris).
FTM2025 yang dibawakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berlangsung selama dua hari pada 19 dan 20 April 2025.
Program ini merupakan kesinambungan daripada Festival Tari Malaysia Peringkat Zon di mana sebanyak lapan kumpulan terbaik mewakili negeri dan zon telah berjaya ke FTM peringkat Kebangsaan dengan mempertandingkan dua kategori tarian iaitu Tarian Rampaian Tradisional dan Tarian Kreatif Malaysia.
Program ini bertujuan bagi memberi peluang kepada koreografer dan penari mempelajari, berkarya dan mempamerkan persembahan berkualiti dan bermutu tinggi serta meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab untuk memelihara dan memperkembangkan warisan budaya bangsa.
Tidak hanya itu, FTM2025 turut diserikan dengan Pertandingan Tarian Kanak-Kanak yang berlangsung pada 19 April dan Dance Battle ‘Ekspresikan Diri’ pada 20 April di Amphitheatre, MaTiC.
Program ini adalah antara acara sisipan yang dirancang oleh JKKN bagi merangsang kehangatan acara utama iaitu Festival Tari Malaysia 2025.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris berkata, pihaknya terus komited dalam memelihara warisan budaya bangsa dalam pelbagai cabang seni terutamanya seni tari.
"Program ini diharap dapat mendidik masyarakat masa kini untuk lebih menghargai dan mencintai seni budaya negara melalui penganjuran festival sebegini,” ujarnya.
FTM2025 yang dihoskan oleh Falyq dan Zetty turut diserikan dengan persembahan Fairuz Selamat dan Car Farish. - 7KLIK
FTM2025 yang dihoskan oleh Falyq dan Zetty turut diserikan dengan persembahan Fairuz Selamat dan Car Farish. - 7KLIK
Festival Tari Malaysia 2025 | FOTO: JKKN |
Senarai Penuh Pemenang
Juara
Dansa Fusion (Kuala Lumpur)
Karya: Rampaian Mawar Memujuk & Tarian Buyut
Koreografer: Muhamad Zakwan Hafizie Zakaria
Naib Juara
Maganda (Sabah)
Karya: Hikayat Buah Hati & Ka'asa Tausug
Koreografer: Achai Kiran
Tempat Ketiga
Akar Seni Malaysia (Kelantan)
Karya: Rampaian Pata Timo & Kuda Hijau Jelma Dewa
Koreografer: Mohd Hazlami Harun
Busana Rampaian Tradisional Terbaik
Kesuma (Univeristi Malaya)
Karya: Kesuma Jiwa & Sada Bulan Emperaga
Koreografer: Mohd Hairil Anuar Bari
Busana Kreatif Malaysia Terbaik
Maganda (Sabah)
Koreografi Rampaian Tradisional Terbaik
Le'Waris (Universiti Malaysia Kelantan)
Karya: Rampaian Bungo Kasih & Sirih Junjung Paduka Raja
Koreografer: Mohamad Khairullah Atan
Koreografi Kreatif Malaysia Terbaik
Dansa Fusion (Kuala Lumpur)
Saguhati
Gabungan Budaya Darul Takzim (Johor)
Karya: Simpul Kasih Wan Anom & Bapukung
Koreografer: Abdul Razzak Jamalu
Gahrentak Arts & Culture (Sarawak)
Karya: Sayang Tampung Seribu & Regatta
Koreografer: Jimmy Anak Peter
Dance Troupe FMSP (Universiti Perguruan Sultan Idris)
Karya: Ronggeng Nak dara Rindu & Sinui Hik (Kehidupan Kami)
Koreografer: Ealbie Brendant Abinus
ARTIKEL LAIN:
0 Comments