Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Nikmati keindahan pantai, sinaran mentari memikat di Antalya


ANTALYA bandar peranginan yang begitu menakjubkan menghadap Laut Mediterranean di sepanjang Turkish Riviera, ternyata tiada tandingan dengan pasir berona keemasan, hamparan langit membiru dan perairannya yang begitu jernih.

Terletak di barat daya Turkiye, bandar berkenaan juga mempunyai iklim konsisten yang menyenangkan dengan sinaran matahari selama 300 hari, sekali gus mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk kunjungan pelancong yang inginkan kenikmatan musim panas.

Namun begitu, permata pantai yang terkenal di dunia ini bukan sahaja menjadi tarikan kepada penggemar pantai dan sinaran mentari tetapi juga dikatakan menjadi penjaga kepada antara pantai paling bersih di dunia.

Antalya memegang rekod dunia kerana memiliki bilangan pantai yang tertinggi mendapat pengiktirafan Bendera Biru (Blue Flag) iaitu sebanyak 233.

Pantai yang tidak tercemar dan bersih terbentang saujana mata memandang ini sememangnya menawarkan percutian musim panas yang anda impikan.

Pantai Mempesona dan Perairan Jernih

Memandangkan percutian musim panas kian menjelang, biarkan langkah anda membawa haluan ke beberapa pantai yang paling bersih di dunia ini.

Anda boleh membuat pilihan pantai di Antalya yang menerima pengiktirafan Bendera Biru yang berprestij diperakui atas kualiti dan keselamatannya.

Komitmen Antalya untuk memelihara khazanah alam semula jadinya memastikan bahawa setiap pantai kekal berada pada piawaian kelestarian tertinggi.

Perairan yang sejernih kristal, pasir bersih dan persekitaran semula jadi yang dilindungi dengan baik di mana segalanya bermandikan limpahan sinaran mentari. Anda akan punya banyak pilihan apabila memperkatakan tentang pantai indah di Antalya.

KaÅŸ, Antalya

Finike Beach, Antalya


Temui keindahan yang mendamaikan di Alanya, Side, Manavgat, Finike, Kemer, Kalkan, KaÅŸ dan banyak lagi bandar lain  yang mana setiap satunya memiliki pantai berstatus Bendera Biru yang menawarkan kedamaian dan ketenangan yang tiada tandingan.

Pantai Patara, Kleopatra, Kaputaş, Lara dan Konyaltı ternyata menyerlah. Bayangkan desiran menenangkan dari Laut Mediterranean yang jernih membasahi pantai, membenam kaki ke dalam pasir lembut dan hangat, juga menghirup koktel menyegarkan sambil berjemur di bawah sinaran mentari. Pantai ini juga tempat sesuai untuk mencuba pelbagai sukan air yang mengujakan.

Kaş merupakan salah satu lokasi terbaik Türkiye, bukan semata-mata kerana pantai berstatus Bendera Biru yang dimilikinya tetapi juga untuk aktiviti menyelam.

Dengan beberapa kawasan yang menyediakan persekitaran yang sangat jelas lantaran airnya yang jernih, KaÅŸ adalah antara pusat menyelam terkemuka di dunia.

Peluncur angin dan peluncur layang-layang juga bertuah di Antalya memandangkan Alanya merupakan tempat terbaik untuk sukan yang menyeronokkan ini dengan tiupan angin yang bagus dan pantainya yang cantik. Anda juga boleh mencuba parasailing, jet ski malah berkayak di sini.

Kemewahan, Sejarah dan Kelestarian 

Pantai dara di Antalya dikelilingi oleh beberapa pusat peranginan mewah yang menyediakan kemudahan bercitarasa tinggi, termasuk kemudahan spa bertaraf dunia, taman pengembaraan, padang golf dan restoran gourmet.

Terdapat juga banyak tapak purba dan perkampungan yang boleh anda lawati. Misalnya, nyalaan api kekal disebut sebagai Chimera dan Kota Purba Olympos yang menempatkan runtuhan tamadun Lycian, merupakan destinasi yang mesti dikunjungi berhampiran dengan Pantai Çıralı Bendera Biru.

Begitu juga dengan perjalanan merentas masa yang menarik di Kota Purba Patara, ibu kota bersejarah Liga Lycian, selepas menikmati keindahan Pantai Patara iaitu salah satu daripada pantai terpanjang di Türkiye (sepanjang 18 km).

Patara Ancient City

Caretta In KaÅŸ, Antalya

Pantai berstatus Bendera Biru Antalya yang menyerlah dengan penyediaan perkhidmatan pelancongan yang sihat dan selamat, turut menyumbang kepada keseimbangan semula jadi yang mampan.

Antara usaha pemuliharaan pantai yang paling berharga adalah membabitkan penyu Caretta. Penyu laut yang terancam ini bergantung pada pantai yang bersih dan tidak terganggu untuk terus hidup.

Pantai Bendera Biru di bandar ini seperti Belek, Patara dan Çıralı, menyediakan kawasan pembiakan yang selamat dengan langkah pemuliharaan yang ketat seperti kawasan sarang yang dilindungi, pencahayaan pantai yang terkawal dan program kesedaran.

Sepanjang musim pembiakan, anda juga boleh menyaksikan perjalanan hidup penyu Caretta yang merakamkan pengalaman lestari sekali seumur hidup.

Sama ada anda ingin berehat di tepi laut yang jernih membiru, menyibukkan diri dengan sukan air atau sekadar menikmati persekitaran alam semula jadi yang mempesona, pantai berstatus Bendera Biru di Antalya sememangnya menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Selepas seharian meluangkan masa di pantai yang indah ini, anda boleh mencuba makanan laut enak Mediterranean yang disajikan dengan wain Turki tempatan dan menikmati kehidupan malam yang serba meriah. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments