Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Katana, serlah sisi matang Dinda Dania

Dinda Dania | FOTO: Rocketfuel Entertainment

MAHU terus memperjuangkan bakat seni dalam dirinya, juara Ceria Popstar Xtra 2022, Dinda Dania kini kembali dengan single terbaharu berjudul Katana.

Single terbitan Rocketfuel Entertainment itu merupakan lagu berentak rancak yang meraikan kekuatan, keberanian dan keteguhan jiwa seorang wanita.

Malah Katana mengambil inspirasi daripada keanggunan dan ketajaman pedang legenda Jepun, yang merupakan simbol kepada kekuatan dalaman dan semangat tidak gentar yang dimiliki oleh setiap wanita.

Menurut Dinda, single terbaharunya itu membawa mesej besar, membuktikan bahawa wanita mampu tampil dengan sifat lemah-lembut namun tetap kuat dan tidak mudah dipergunakan.

“Secara ringkasnya Katana menceritakan tentang seorang lelaki yang sudah pecah tembelang dengan teman wanitanya, susulan mempunyai kekasih gelap.

“Bagi saya, ia bukan sekadar lagu tetapi adalah satu kenyataan. Lagu ini tentang mencari suara sendiri, memiliki kekuatan dalaman dan tidak takut untuk bangkit.

“Saya harap ia mampu memberi inspirasi kepada gadis-gadis dan wanita di luar sana untuk percaya pada diri sendiri, walau apa pun cabaran yang datang,” ujarnya.

Dinda Dania kembali dengan lebih berani dalam single Katana.  | FOTO: Rocketfuel Entertainment

Katana yang merupakan karya ciptaan Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman, digarap dengan susunan muzik moden penuh elemen sinematik, seiring dengan kekuatan vokal Dinda yang mantap dan penuh ekspresi.

Pengalaman

Jelas Dinda lagi, gandingan bersama barisan komposer terbabit bukan kolaborasi pertama mereka, sekali gus menjadikan proses rakaman menjadi lebih mudah.

“Sebenarnya, ini bukan pertama kali saya bekerjasama dengan Iqie Hugh, Omar K dan Shazriq Azeman. Kembali bekerja dengan mereka memudahkan saya.

"Mereka sangat terbuka dan profesional untuk menerima pendapat kita sebagai penyanyi dan sangat membantu ketika di studio, terutama dalam membimbing saya sepanjang sesi rakaman.

"Disebabkan itu, saya mudah faham dengan apa yang mereka inginkan menerusi lagu. Saya sangat berbesar hati dan gembira setiap kali dapat bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Melanjutkan bicara mengenai proses rakaman, Dinda mengakui mengambil masa sekitar dua jam lebih untuk merakamkan lagu Katana.

“Pada waktu itu, saya kurang sihat. Namun, saya bersyukur kerana proses rakaman berjalan dengan lancar. Apa-apapun, saya berharap agar lagu ini mendapat tempat di hati peminat," tuturnya.

Sungguhpun masih hijau dalam industri, Dinda melihat Katana sebagai tanda aras kematangan muzik dan keberaniannya sebagai seorang artis muda yang sedang menempa nama.

Single Katana kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

إرسال تعليق

0 تعليقات