SESUATU yang hangat dan mengujakan sedang hadir ke Singapura apabila dua kumpulan legenda yang nama mereka mewangi di Nusantara akan menjadi ‘satu’ pada malam penuh epik khusus buat peminat-peminat mereka.
Exists X Slam Live In Singapore. Begitu ringkas nama konsert yang menggabungkan dua pesohor industri muzik ini. Buat pertama kali dan cukup istimewa, Exists X Slam akan bergabung menerusi konsert perdana mereka di The Star Theatre Singapura pada 29 November 2025.
Dibawakan khas oleh Shiraz Projects, Exists X Slam menjadi indikasi kepada relevansi dua kumpulan ini pada saat banyak grup generasi baharu bermunculan saban waktu, bahawa karya Exists dan Slam tidak pernah mati ditelan zaman.
Menurut Pengarah Urusan Shiraz Project, Shiraz, gabungan Exist dan Slam begitu istimewa, bahkan lagu-lagu nyanyian mereka kekal menjadi pilihan sehingga ke hari ini.
“Ada yang bertanya kenapa Exists X Slam? Kenapa tidak? Bukan kerana setiap kumpulan ini tidak boleh berdiri sendiri atau menarik penonton masing-masing memenuhkan The Star Theatre. Bukan juga kerana selaku penganjur, Shiraz Projects tidak percaya bahawa Exists atau Slam akan membuat konsert ini sukses.
“Selaku penganjur, kami mahu menghargai Exists dan Slam menerusi penganjuran konsert yang disifatkan sangat istimewa ini kerana melihat karya-karya mereka tetap digemari dan berpengaruh kepada peminat walaupun mereka sudah lebih dua dekad dalam industri.
“Jadi kenapa jika Shiraz Project boleh mendapatkan Exists X Slam lalu tidak melaksanakan projek istimewa ini? Rugi jika kami melepaskan peluang ini selepas kedua-duanya bersetuju, kerana Exists dan Slam terlalu istimewa dengan sejarah mereka masing-masing,” ujarnya.
Tambahnya lagi, hal yang menjadikan Exists X Slam sebagai konsert yang istimewa adalah sejarah yang telah dicetak sepanjang ‘berperang’ dan berkelana dalam belantika muzik sejak awal tahun 90-an.
Exists | FOTO: Shiraz Projects |
Baik Exists mahupun Slam yang sudah beberapa kali bertukar anggota termasuk vokalis, tetap mampu mempertahankan reputasi mereka kerana sokongan peminat yang tidak pernah berbelah bahagi. Itu belum lagi pengiktirafan demi pengiktirafan yang diperoleh sepanjang berkarya.
“Dan siapa yang tidak kenal dengan lagu seperti Mengintai Dari Tirai Kamar atau Gerimis Mengundang? Sekali dengar peminat tahu lagu-lagu ini dengan suara dan ciri khas muzik adalah milik Exists misalnya atau Slam.
“Jadi Shiraz Projects mahu membawakan lagu-lagu Slam dan Exists yang selalu didengar hanya menerusi corong radio dipersembahkan secara langsung di hadapan anda semua,” katanya.
Kenangan terbaik
Exists X Slam juga akan membawa semua peminat pulang ke masa silam. Ikut terbuai dalam alunan enak suara sang vokalis Exists, Ezad menerusi lagu-lagu seperti Oh Ibu, Jesnita atau Julia.
Begitu juga kecanduan mendengar merdu vokalis Zamani Slam dengan untaian lagu seperti Tak Mungkin Berpaling, Kembali Terjalin atau Rindiani.
Slam | FOTO: Shiraz Projects |
Tanpa menjanjikan bulan atau bintang, Exists dan Slam hanya mahu mempersembahkan sebuah konsert yang meninggalkan kesan atau momen manis buat peminat.
Along yang mewakili Exist berkata, mereka hanya mahu memberikan yang terbaik agar peminat dapat membawa pulang pengalaman dan kenangan manis bersama mereka.
“Adalah penting buat kami sebagai penghibur untuk melihat peminat berpuas hati, menyanyi bersama dan pulang dengan kenangan terbaik yang mereka dapatkan dari Exists X Slam di The Star Theatre pada 29 November 2025 ini,” katanya.
Tiket-tiket boleh didapati dengan harga $258, $168, $148, $128, $108, $108 dan $88. Pembelian boleh dilakukan menerusi www.sistic.com.sg . - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments