Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Jennie cipta momen ikonik di Coachella 2025

Jennie pamer aura tersendiri pada debut solo di pentas Coachella 2025, minggu pertama.

Oleh: AILEEN ADAM

BINTANG K-Pop sensasi, Jennie mencipta sejarah manis di Festival Muzik dan Seni Coachella 2025 apabila debutnya sebagai solois di acara popular dunia itu berjaya mencuri tumpuan penggemar muzik global.

Persembahan berimpak Jennie di Outdoor Stage Coachella, Indio, California, Amerika Syarikat yang berlangsung pada Ahad (waktu tempatan) menjadi momen ikonik yang menandakan era baharu dalam kerjaya seninya.

Penampilannya yang penuh energi dan pesona menjadi sorotan, terutama pada kemampuan vokal 'live' Jennie yang mendapat pujian ramai.

Begitu juga dengan gerakan koreografi solid dan energetik melengkapkan gaya persembahannya yang sememangnya mempunyai aura tersendiri.

Penampilan tersebut pantas memicu reaksi positif di pelbagai platform media sosial sehingga hashtag #Jennie dan #Jenchella (Jennie Coachella)  menjadi trending.

Ternyata dia tidak bercakap kosong tentang usahanya untuk memberikan yang terbaik dalam persembahan tersebut sebagai artis solo, sekali gus membalas sokongan dan kepercayaan yang diberikan peminat kepadanya.

Tampil membawakan 13 buah lagu daripada album solo sulungnya, RUBY, Jennie, 29, berjaya membuktikan kemampuannya sebagai artis solo menerusi persembahan tanpa henti yang penuh versatiliti.



Membuka pentas dengan lagu Filter diikuti Mantra, Handlebars, Start A War dan Zen, penyanyi berzodiak Capricorn itu pantas memaku penonton dengan aksi memukaunya.

Persembahannya untuk lagu F.T.S turut mencuri perhatian apabila dia berjaya membawakan lagu itu dengan cukup berkesan, sekali gus menyerahkan vokalnya yang indah.

Sementara lagu Damn Right pula menyaksikan Jennie membawa penyanyi Amerika Syarikat, Kali Uchis di pentas sebagai artis undangan dengan penuh kejutan. Diikuti Love Hangover dan Seoul City yang dipersembahkan dengan gaya yang memikat.

Pentas semakin hangat saat single popular XtraL, With the I.E (Way Up), dan Like Jennie dipersembahkan dengan susunan muzik baharu khas buat pentas Coachella, sebelum Starlight menjadi penutup tirai.

Lautan penonton yang memenuhi segenap ruang acara juga membuktikan betapa set persembahannya begitu dinantikan ramai. Lebih bermakna apabila mereka turut menyanyi bersama Jennie meski lagu-lagu daripada album Ruby itu masih baru di mana ia dilancarkan pada 7 Mac lalu.   

"Cause I remember the night.. I love you Coachella," ucap Jennie sebelum meninggalkan pentas.

Pada set persembahan berdurasi 50 minit itu, Jennie yang sinonim dengan julukan ikon fesyen hanya tampil dengan satu persalinan mengenakan 'crop top' paten bercorak buaya rona merah gelap yang dipadankan dengan seluar pendek mikro dan boots suede tinggi paras paha.

Penampilan itu bagaimanapun diolah dengan beberapa gaya berbeza mengikut 'vibe' lagu yang disampaikan. Kreativiti yang cukup menyerlahkan aura dan gaya ikoniknya dalam berfesyen.  Itulah Jennie Kim. 

Pilihan satu 'outfit' itu mungkin strategi terbaik agar tumpuannya kekal seratus peratus pada aspek vokal dan persembahan keseluruhan tanpa perlu mengejar masa untuk menukar persalinan.

Antara aksi Jennie ketika persembahan di Outdoor Theatre Stage pada Ahad 

Energi luar biasa Jennie sepanjang persembahan tersebut tentunya turut diserap daripada para peminat dan penggemar muzik yang hadir yang rata-ratanya penuh semangat. Apatah lagi, dua anggota Blackpink, Lisa dan Rose turut hadir memberikan sokongan.

Kejayaan debut solo di Coachella bukan sahaja membuktikan versatilitinya sebagai artis, malah menjadi penanda aras baharu bagi bintang solo K-pop di pentas global.

Jennie sekali lagi akan tampil di pentas sama pada 20 April ini bagi melengkapkan persembahan minggu kedua di Coachella 2025 dan pastinya akan membuat peminat tertunggu-tunggu apakah kejutan yang bakal ditampilkan pada sesi kedua itu.

Terdahulu bintang sensasi itu pernah tampil bersama Blackpink mengisi posisi persembahan subliner di Sahara Stage pada 2019 dan beraksi sebagai headliner di Coachella Stage (2023). - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments