[Nota Dari Kedai Kopi Bandara]
PERCATURAN konsep Alpha untuk Big Stage musim keenam, pasti akan menimbulkan pelbagai persepsi, kontroversi dan perlu viral.
Ia tuntutan sesebuah konsep baharu dalam pencarian ‘boy band’ ala K-Pop. Julung kali Big Stage mempertaruhkan konsep sebegini. Barangkali ingin mengikut trend pencarian idol seperti di Korea.
Cuma yang masalahnya adalah percaturan sebegini tidak berapa menarik untuk dikatakan sesuatu yang luar biasa.
Tiada sesuatu yang baharu kerana kita telah sedia ada kemunculan kumpulan sebegini sebelum ini. Sebagai contoh KRU, Nico, 4U2C, X-Factor, Forteen, Phyne Ballerz mahupun Innuendo serta rakan seangkatan yang lain sudah lama bertapak dalam industri tanah air.
Berkiblatkan budaya K-Pop bukanlah sesuatu yang wajar dibanggakan. Memanglah kumpulan yang terpilih akan dibawa ‘menuntut ilmu’ di sana, tetapi apa lagi selepas itu? Sedangkan di Korea sendiri kumpulan ‘band boy’ mereka lebih hebat dari semua segi.
Jika benar ingin melahirkan ‘band boy’ versi terkini Malaysia yang hebat, permainannya kena jelas. Terutamanya umur peserta biar ada ruang untuk mereka ‘berjuang’ selepas habis Big Stage Alpha ini nanti.
Jangan sekadar ‘havoc’ ketika program sahaja. Mujur Nadeera yang menang musim lalu menyerlah, kalau tidak Big Stage akan menjadi seperti beberapa program hiburan lain yang juaranya sendu selepas menang.
Saya sendiri lebih suka kalau umur yang sesuai dipilih adalah di antara 18 hingga 24 tahun sahaja untuk melatih bintang baharu ini bertahan dengan perjuangan seni yang sukar dijangka.
Memilih yang lebih 30an tidak sesuai untuk pencarian kumpulan sebegini. Hael Husaini pun pernah ada group duonya, tetapi tetap juga gagal mencipta nama. Hael naik setelah solo.
Justeru saya tidak terkejut apabila Syafeek Ikhwan tersingkir awal. Usia Syafeek tidak sesuai untuk berjuang di pentas Alpha ini. Syafeek perlu bergerak solo kerana kekuatannya di situ. Dia tidak perlu bergantung dengan adanya kumpulan sebegini.
Kumpulan sebegini perlu yang lebih remaja. Syafeek kena ada ‘killer song’ untuk namanya relevan. Buat Syafeek dan lima lagi yang tersingkir awal, jangan patah semangat. Ada kejayaan lain menanti di luar.
Hakikatnya Big Stage Alpha hanya memerlukan enam ahli untuk kumpulan yang bakal dicipta, jadi kepada enam peserta daripada Top12, bersedialah dengan nasib anda selepas ini.
Sama ada ‘band boy’ ala Korea yang ingin dicipta oleh Big Stage kali ini akan berjaya atau tidak, masa akan menentukan.
Seperti kata Datuk Syafinaz, pencarian kali ini tidak mudah. Komitmen, keserasian, tolak ansur, boleh menyanyi dengan baik, boleh menari dan ada pakej komersil adalah sasarannya.
Jika begitu kita boleh nilai sendiri siapa yang bakal terpilih nanti. Pun begitu pilihan saya tetap yang di bawah 24 tahun untuk terlibat dengan projek khas Big Stage Alpha ini.
Peserta lebih berumur itu kembangkan bakat anda sebagai penyanyi solo sahaja. Itu lebih sesuai walaupun anda sedaya upaya meniru imej Bintang Idol Korea itu.
Big Stage Alpha perlu hadir dengan pakej prestij. Bukan hanya pandai menari, menyanyi harmoni, imej Korea tetapi budaya Malaysia dan Melayu itu sendiri perlu lebih diagungkan. Cukuplah budaya ‘copy paste’ ini. Kasihan industri seni kita. - 7KLIK
~ Nota by Jebat Iskandar ~
(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)
ARTIKEL LAIN:
0 Comments