Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Bintang legenda Indonesia, Titiek Puspa meninggal dunia


BINTANG legenda Indonesia, Titiek Puspa meninggal dunia di Hospital Medistra, Gatot Subroto, Jakarta Selatan, sekitar jam 4.25 petang Khamis.

Pemilik nama sebenar Sudarwati itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun akibat penyakit angin ahmar. 

Berita duka itu disahkan anak sulungnya, Petty Tunjungsari sebagaimana dilaporkan media tempatan. Titiek dikatakan rebah ketika menjalani penggambaran program sitkom Lapor Pak di stesen televisyen Trans 7, semalam.

Bintang legenda yang sempat menyempurnakan tiga segmen untuk program tersebut dikejarkan ke hospital sebelum menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.

Terdahulu pada Mac lalu, Titiek dikatakan telah menjalani prosedur pembedahan setelah mengalami komplikasi akibat pembuluh darahnya pecah.

Penghibur yang mesra disapa Eyang Titiek memulakan kerjaya seninya sejak era Presiden Soekarno iaitu pada 1954 dan menghasilkan ratusan karya.

Ketika hayatnya, beliau pernah menghasilkan album berjudul Kisah Hidup pada 1963, Mama (1964), Kupu-Kupu Malam (1977), Apanya Dong (1982), Horas Kasih (1983) dan Virus Cinta (1997).

Menariknya, dua lagu nyanyiannya, Kupu-Kupu Malam dan Bing telah dipilih sebagai Lagu Indonesia Terbaik Sepanjang Zaman oleh Rolling Stone Indonesia pada 2009.

Beliau juga turut aktif dalam bidang lakonan menerusi sinetron dan filem termasuk Minah Gadis Dusun (1965), Di Balik Cahaya Gemerlapan (1976), Karminem (1977), Rojali dan Juhela (1980) dan Koboi Sutra Ungu (1982).

Pemergian Titiek mendapat perhatian seluruh penggiat dan peminat seni hiburan Indonesia yang turut berduka dengan kehilangan bintang ternama itu. Masing-masing menitipkan doa dan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments