TERBUKA menerima teguran ramai, penyanyi Mimi Fly akhirnya menurunkan muzik video (MV) lagu raya nyanyiannya berjudul, Serumpun daripada platform perkongsian video, YouTube selepas beberapa hari dilancarkan.
Tindakan itu dilakukan Mimi atau nama penuhnya Shamimi Amalina Norhisham, setelah mengambil kira teguran dan pandangan ramai yang kurang senang dengan penampilannya yang mengenakan pakaian tradisi 'ala berkemban' dalam salah satu babak MV berkenaan.
Tidak melenting atau melatah, Mimi sebaliknya mengakui kekhilafan dirinya yang terlepas pandang perkara tersebut dalam keterujaannya mengambil ilham kepelbagaiman budaya di alam nusantara zaman berzaman.
"Sejak muzik video ini dilancarkan, saya terima banyak respon daripada peminat-peminat dan pendengar muzik Malaysia.
"Ada yang baik dan ada juga yang bimbang kalau pendekatan seni saya ditafsir berlainan daripada niat yang sebenarnya.
"Saya mendapat teguran daripada Mufti Wilayah Persekutuan dan juga nasihat-nasihat, jadi saya ambil maklum dan akur dengan kekhilafan itu dan telah pun menurunkan muzik video Serumpun," ujarnya dalam satu hantaran video di laman Instagram miliknya hari ini.
Bagaimanapun pasukan produksi MV terbabit telahpun melakukan suntingan semula dan versi baharu Serumpun kini boleh kembali ditonton di saluran YouTube miliknya sekitar 11.11 pagi tadi.
Versi baharu itu mendapat respon positif daripada peminat, malah rata-ratanya memuji tindakan bekas anggota kumpulan One Nation Emcee itu yang mengambil inisiaif membuat suntingan semula MV berkenaan setelah ditegur pelbagai pihak.
Makna mendalam
Mimi turut membuat permohonan maaf atas kontroversi yang berlaku dan mengambil maklum semua teguran yang diberi.
Jelas penyanyi Angkat itu lagi, bukan niatnya untuk menghina budaya dan agama. Sebaliknya sebagai anak seni, dia sentiasa mahu memastikan karyanya berkualiti, diterima dan memberi makna yang mendalam kepada semua.
"Seperti manusia lain, saya pun tak lepas daripada membuat kesilapan. Jadi saya mengambil maklum segala teguran serta nasihat. Terima kasih kerana memberi teguran dan kritikan yang baik untuk saya.
"Saya memohon jutaan kemaafan dan saya sangat bersyukur kerana berpeluang memohon maaf awal-awal sebelum kita raya ni.
"Teruskan mendengar Serumpun dan hayati makna hari raya Aidilfitri dengan lagu ini. Maaf zahir batin dan selamat Hari Raya," akhirinya.
Terdahulu MV Serumpun mencetuskan kontroversi apabila ramai yang menyuarakan rasa kurang senang dengan salah satu penampilan Mimi yang mengenakan busana tradisi 'ala berkemban' dan dianggap tidak sopan dan bertentangan dengan maksud sebenar hari raya.
Isu tersebut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial sehingga menarik perhatian pelbagai pihak termasuk Mufti Wilayah Persekutuan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- alfatihah-isteri-saya-akiko-okumura
- nadeera-gegar-industri-muzik-curi
- alfatihah-aktivis-teater-terkenal
0 Comments