Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Temui permata Anatolia Timur di Türkiye


WILAYAH Anatolia Timur di Türkiye menampilkan gabungan pelbagai pemandangan dan alam semula jadi, khazanah sejarah dan layanan mesra yang menggamit perasaan, lantas menjadikannya destinasi sempurna untuk dikunjungi.

Daripada lembah yang curam sehinggalah kepada keajaiban seni bina yang menakjubkan dan tapak arkeologi yang mengagumkan, pasti ada sesuatu yang menawan hati setiap pengunjung.

Namun beberapa tempat terpencil harus dilawati untuk menikmati keindahan dan kepelbagaian wilayah yang begitu mempesona ini.

Berikut adalah beberapa kawasan yang harus dikunjungi sepertimana yang dilakukan masyarakat setempat di wilayah timur Türkiye.


Muzium Terbuka Arslantepe di Malatya

Malatya terkenal dengan tanaman aprikot dan mercu tanda bersejarahnya, merupakan pintu masuk untuk meneroka perjalanan Türkiye Timur anda.

Bandar ini mengalu-alukan kehadiran pelancong yang ingin menikmati pengalaman sebenar meneroka tapak arkeologi Arslantepe yang berusia 8,000 tahun, satu kawasan monumen yang menyaksikan pembentukan masyarakat negeri.

Tapak Warisan Dunia UNESCO yang tersembunyi ini memberikan gambaran menarik tentang sejarah mendalam kawasan tersebut dan pengunjungnya pasti terpukau dengan kota negeri pertama di Anatolia ini yang mempunyai birokrasi canggih.


Istana Harput di Elazığ

Bandar Elazığ yang terletak berhampiran merupakan hentian seterusnya dalam pengembaraan bersejarah anda dengan mengunjungi Istana Harput.

Dibina oleh orang Urartian pada abad kelapan Sebelum Masihi, istana berkenaan menyaksikan kehadiran pelbagai budaya yang terbukti dalam seni binanya, dan ia menjadi saksi kepada pelbagai tradisi dan kepercayaan. Terletak di atas bukit, istana ini mempunyai pemandangan kota yang begitu mempesona.


Taman Negara Munzur Valley di Tunceli

Salah satu daripada kawasan alam semula jadi yang paling kaya dengan flora dan fauna di Anatolia menanti kehadiran anda di Tunceli.

Dari saat anda menjejakkan kaki ke Taman Negara Munzur Valley, anda bakal dikelilingi dengan gabungan hidupan liar dan alam semula jadi yang tiada tandingannya.

Taman berkenaan menampilkan landskap yang begitu mempesona pada musim ini dengan hutan, tasik glasier, ngarai dan air terjun berada di bawah selimut salji. Sekelumit syurga alam semula jadi menanti anda di sini.


Kemaliye di Erzincan

Terletak sepanjang Sungai Furat, bandar Cittaslow Kemaliye di Erzincan ternyata tiada tandingannya yang mana alam semula jadi dan sejarah saling melengkapi.

Rumah batu-batuan bersejarah di bandar itu memaparkan warisan seni bina Anatolia dengan binaan balkoni kayu dan tombol pintu yang tersendiri manakala keajaiban alam seperti seperti Air Terjun Karasu dan Karanlık Canyon yang memukau pandangan turut menambah daya tarikannya.

Kemaliye yang berlatarkan budaya dan sumber alam semula jadi, turut dimasukkan dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia UNESCO dan terpilih untuk menyertai Program Naik Taraf Kampung Pelancongan Terbaik PBB.

Sama ada percutian yang mendamaikan, menyelami hal ehwal budaya atau kembara alam semula jadi, Kemaliye menjanjikan pengalaman yang menarik untuk semua pengunjung.


Tasik Çıldır di Ardahan

Apabila anda bergerak lebih jauh ke timur, Ardahan bakal mengalu-alukan kehadiran anda dengan Çıldır yang mempesonakan, iaitu tasik air tawar terbesar di wilayah ini.

Terletak di antara wilayah Kars dan Ardahan, Tasik Çıldır membeku ketika musim sejuk, dan aktiviti meluncur, memancing dalam ais, menunggang basikal dan berjalan di permukaan kristalnya ternyata mengubah kedinginan di musim sejuk menjadi kenangan yang begitu indah.

Persembahan tarian rakyat Kaukasia dan bersarapan di sisi pendiangan di kabin kayu berhampiran tasik sememangnya satu lagi pengalaman yang harus dinikmati di sini.


Tapak Arkeologi Ani di Kars

Di bahagian selatan tasik ini iaitu di sempadan Kars pula, ia menempatkan Ani, tapak arkeologi terbesar di Anatolia Timur.

Tapak Warisan UNESCO ini merupakan salah satu daripada lokasi yang paling kritikal pada zaman awal Kristian dikenali sebagai 1001 Kota Gereja yang kemudiannya berubah kepada penempatan Laluan Sutera yang merangkumi pelbagai budaya.

Kini, bangunan yang terbentuk daripada batu-batuan merah berkenaan seolah-olah pengawal gergasi di tapak ini yang memberikan pandangan mengenai urbanisme zaman pertengahan.


Istana İshak Pasha di Ağrı

Istana İshak Pasha tersergam bagaikan keajaiban seni bina yang menanti kunjungan anda di bandar Ağrı.

Istana di zaman Uthmaniyyah ini yang terletak di kaki Gunung Ağrı, seharusnya dikagumi lantaran gabungan seni bina tradisional Turki dan Seljuk yang serba memukau dengan sentuhan gaya Baroque Eropah.

Usah lupa untuk menikmati pemandangan indah landskap sekeliling sambil meneroka sejarah dan perhiasan di istana ini. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments