Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Serumpun, Bidaah yang panas!



[Nota Kedai Kopi Bandara]

DALAM banyak hal, insan seni sering menjadikan lesen kreatif sebagai medan untuk melakukan sesuatu yang di luar kotak.

Lagi viral lagi hebat diperkatakan, maka sesuatu hal yang dipaparkan akan menjadi sebutan. Ia promosi tidak secara langsung menaikkan rating. Begitulah hakikat sasarannya.

Pun begitu saya lebih tertarik kepada dua isu yang sedang hangat diperkatakan kini. Pertamanya berkenaan drama Bidaah, arahan Mohd Fazli Yahya terbitan Rumah Karya Citra Sdn. Bhd, milik Erma Fatima untuk siaran saluran berbayar, VIU dan kedua mengenai muzik video lagu raya nyanyian Mimifly berjudul Serumpun.

Bidaah yang menceritakan tentang isu penunggang agama ini dikatakan tidak sesuai untuk tontonan di bulan Ramadan. Banyak pro dan kontra daripada pelbagai pihak.

Ada yang menerima dengan fikiran terbuka kerana isu tersebut pernah berlaku di negara kita. Ada pula dikatakan drama tersebut menghina Islam. Benarkah begitu?

Sementara MV lagu raya Serumpun juga tidak terkecuali menerima kritikan hebat. Ramai kurang bersetuju dengan konsep yang dipaparkan. Lebih-lebih lagi cara penampilan Mimifly yang mencolok mata.

Busana yang dikenakan dikatakan terlalu mendedahkan. Tidak sesuai untuk lagu raya dan ia di luar kotak daripada kebiasaan.

Sebenarnya baik drama maupun lagu ada tanggungjawab tersendiri. Bagaimana niat untuk memberi pengajaran pada masyarakat, bukanlah sesuatu yang perlu dihalalkan. Masih banyak sisi lain boleh digambarkan selain babak yang kurang sesuai untuk tontonan.

Lagu raya sewajarnya bercerita tentang keindahan beraya, kemenangan selepas berpuasa, silaturahim dan sesuatu yang lebih tulus dan suci. Ini lagu yang biasa kita dengar sejak dulu hingga kini.

Apa yang dipersembahkan MV Serumpun memang 'wow' dengan konsep dan lagunya, tetapi apabila ia dicacatkan dengan penampilan penyanyinya, maka nilai murni yang kita pratikkan bagaikan telah hilang.

Ketika ramai penyanyi dan komposer hadir dengan lagu raya yang meriah tahun ini, tanggungjawab sosial wajar dipertaruhkan.

Saya sendiri pun memilih lagu Biduanita Negara Datuk Sri Siti Nurhaliza, Raya Nak Ke Mana? serta  Meriah Lain Macam nyanyian Hael Husaini dan Nadeera yang merupakan antara lagu raya terkini yang sesuai dengan 'mood' raya.

Apabila Serumpun hadir ia membawa persepsi berbeza. Saya OK sahaja dengan Serumpun. Jika sekadar mendengar, mungkin sesuai. Namun untuk MV, pastinya kurang enak untuk tontonan meskipun 'editing' video tersebut menarik dan ada nilai komersil.

Serumpun tidak boleh kekal dengan konsep lagu Mimifly yang berjudul Angkat. Ini adalah lagu raya. Makanya lagu raya perlu lebih bersopan MVnya.

Kita tidak mahu apa yang berlaku pada lagu Datuk Alif Syukri dahulu berulang kembali. Nilai moral akan diperdebatkan netizen sehingga mencetuskan kerisauan.

Bidaah dan Serumpun adalah karya seni yang baik. Tetapi sejauh mana ‘seni yang baik’ itu juga baik untuk masyarakat kita terutama di Ramadan ini? Apakah ‘yang baik’ itu tetap baik untuk kita semua?

Niat yang baik tidak mungkin menghalalkan sesuatu yang kurang baik bukan? - 7KLIK

~  Nota by Jebat Iskandar ~

(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments