Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Raya Telah Tiba, Wany Hasrita teruja kongsi lagu raya baharu

Wany Hasrita | FOTO: Sony Music Malaysia

MENJELANG sambutan hari raya yang bakal dirai tidak lama lagi, sederetan lagu raya baharu bergema menghiburkan orang ramai yang sibuk membuat membuat persiapan.

Tidak mahu ketinggalan, penyanyi Wany Hasrita turut tampil menyertai kemeriahan itu dengan melancarkan single Raya terbaharunya yang berjudul Raya Telah Tiba.

Menariknya, lagu ciptaan Affan Mazlan dan lirik oleh Affan Mazlan dan Danish Noraz itu menampilkan elemen muzik rancak, segar dan sedikit mencuit hati dan cukup berbeza dengan lagu-lagu Raya yang pernah dinyanyikan oleh Wany sebelum ini.

Raya Telah Tiba merupakan single terbitan Sony Music Malaysia yang menyuntik elemen pop moden dengan sentuhan Melayu klasik dan elemen rock, menjadikan ia unik serta mudah diingati.

Lagu ini menggambarkan suasana Hari Raya dengan lirik yang cukup santai dan dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.

Daripada kisah berpuasa penuh sebelum beraya, kesibukan membuat persiapan pulang ke kampung, sehinggalah momen indah berkumpul bersama keluarga dan bergaya dengan baju raya baharu.

"Raya Telah Tiba sangat ‘straightforward’, ia bercerita tentang perkara yang kita lalui setiap kali perayaan.

"Daripada berpuasa penuh, persiapan pulang ke kampung, tergesa-gesa hendak sampai ke destinasi, sehinggalah keterujaan hendak ‘ber-OOTD’ dengan baju raya yang cantik," ujarnya.

Wany berharap lagu Raya Telah Tiba diterima ramaiFOTO: Sony Music Malaysia

Mengulas mengenai proses rakaman muzik video (MV), bintang berusia 33 tahun itu, berkata, ia hanya mengambil masa selama satu sehingga dua jam sahaja, sekali gus membuktikan keserasiannya dengan lagu tersebut sejak kali pertama mendengarnya.

"Bertemakan suasana kampung, MV ini menampilkan saya dalam pelbagai situasi yang menghiburkan, termasuk persiapan sibuk mengemas rumah menyambut keluarga pulang beraya, insiden dikenakan saman oleh polis.

"Tidak ketinggalan, tarian khas Raya yang pastinya bakal menjadi ikutan ramai," jelasnya.

Teruja

Dalam pada itu, Wany yang juga ibu kepada seorang cahaya mata itu mengakui teruja untuk meraikan Aidilfitri bersama sang puteri kesayangan.

"Kenangan paling manis dalam hidup saya adalah apabila berpeluang menyambut Hari Raya bersama puteri sulung, Aishah Al Iman.

"Tahun sebelumnya, saya beraya ketika sedang hamil, tetapi tahun ini lebih bermakna kerana dapat meraikan bersama anak dan suami tercinta," ujar pelantun lagu Menahan Rindu itu lagi.

Keterujaan Wany berganda dengan rilisnya lagu Raya Telah Tiba, dan dia berharap lagu itu akan menjadi salah satu lagu wajib dalam 'playlist' peminat sepanjang musim perayaan, terutamanya buat mereka yang sedang memandu pulang ke kampung halaman.

"Semoga lagu ini menjadi peneman ketika dalam perjalanan pulang beraya di kampung. Tetapi jangan terlalu leka sangat dan tidak menghiraukan had laju sampai terkena saman," selorohnya.

Dalam pada sibuk melakukan persiapan raya, Wany turut mengingatkan umat Islam agar menjalani bulan Ramadan sebaiknya dengan memperbanyakkan dan mempertingkatkan ibadah.

"Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menambah ibadah lebih daripada tahun sebelumnya, dan dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh keberkatan dan kegembiraan bersama keluarga tercinta," akhirinya.

Raya Telah Tiba dilancarkan pada 7 Mac lalu dan kini boleh didengari disemua platform penstriman digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube. Sementara MV rasmi pula  bakal dilancarkan tidak lama lagi. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments