MEMENUHI citarasa tontonan rakyat Malaysia yang menjadikan sajian drama sebagai pilihan utama, tiga drama bersiri terbaik menanti penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang bulan Ramadan ini.
Terus menghidupkan tema Hayati Ramadan Syukuri Syawal, RTM menawarkan hanya drama-drama pilihan istimewa dengan plot kisah yang menonjolkan keinsafan, pengorbanan, kasih sayang dan ketulusan hati yang dekat di hati penonton terutamanya dalam mengimarahkan bulan penuh kesucian dan keberkatan ini.
Tiga drama tersebut terdiri daripada Rumah Kasih Suraya, Haluan dan Menantu Dari Amsterdam yang disiarkan hampir setiap hari menerusi saluran utama TV1, TV2 dan Okey.
Saluran TV1 mengajak penonton menyaksikan drama bersiri penuh emosi berjudul Rumah Kasih Suraya yang bersiaran pada setiap Sabtu hingga Khamis, jam 1.30 petang.
Naskhah ini mengetengahkan kisah watak utamanya iaitu Suraya Hanis, lakonan Nad Zainal yang merupakan bekas peragawati yang membuka Rumah Kasih Suraya menjelang Ramadan sebagai tanda rasa tanggungjawab dan keinsafan.
Ia memaparkan pengorbanan Suraya untuk membantu mereka yang memerlukan, serta cabaran di sebalik kerjaya glamor yang penuh fitnah dan godaan.
Selain Nad Zainal, drama arahan Waan Hafiz dan skrip hasil tulisan Zahirah Hassan ini turut menampilkan pelakon berpengalaman seperti Fauziah Ahmad Daud, Datuk Jalalauddin Hassan, Nor Albaniah, Sobri Anuar, Fad Anuar dan Adam Shahz.
Sementara itu, TV2 membawakan drama 30 episod berjudul Haluan yang menemui penonton setiap hari, jam 6 petang dan ulangannya pukul 6.02 pagi.
Ikuti perjalanan kisah Ghaffar, seorang bekas banduan yang dipenjara kerana disyaki menyebabkan kematian 15 orang penumpang bas yang dibawanya telah terlibat dalam kemalangan.
Irene seorang wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan kisah Ghaffar yang terlibat dalam tragedi kemalangan lalu telah menemui bukti bahawa nahas yang berlaku bukan semata-mata disebabkan kecuaian Ghaffar dan cuba menyelongkar kembali kisah nahas tersebut.
Kemunculan pelakon Rusdi Ramli sebagai watak utama pastinya mengubat kerinduan peminat yang sudah lama tidak menyaksikannya beraksi dalam lakonan. Rusdi turut bergandingan dengan Joyce Harn, Dilla Ahmad, Tuah Adzmi, Arena Wan, Zain Hamid dan Deen Maidin.
| FOTO: RTM |
Terbaik di saluran Okey pula menyiarkan drama bersiri Menantu Dari Amsterdam yang mengetengahkan plot cerita cinta terhalang oleh keluarga.
Drama 30 episod itu mengangkat latar cerita tentang Johanna Philouzulkifli, seorang mahasiswa tahun akhir jurusan psikologi di sebuah universiti di Amsterdam yang berdarah kacukan Belanda-Melayu. Ibunya telah meninggal dunia, dan kini dia tinggal bersama bapanya, Zulkifli, di Amsterdam.
Konflik timbul apabila bapanya yang sedang sakit memohon agar Johanna berkahwin dengan seorang lelaki yang mampu menjaga dirinya selepas ketiadaannya.
Menantu Dari Amsterdam yang bersiaran setiap hari, jam 5.30 petang itu menampilkan barisan pelakon seperti Normah Damanhuri, Elly Arifin, Wanns Ahmad, Nazia Mustafar, Zalif Sidek, Danie Anwa dan Khalida Balqis.
Pastikan anda meluangkan masa menyaksikan program-program terbaik sepanjang Ramadan ini di RTM. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments