BAND indie sedang meningkat naik, The Alif berkongsi emosi lewat lagu raya terbaharu, Lebaran Yang Hiba, sebuah dedikasi khas buat mereka yang meraikan Aidifitri tanpa insan tersayang.
Menerusi gabungan elemen klasik dan sentuhan moden, kumpulan yang dikenali dengan muzik indie rock, folk, dan pop itu berjaya mencipta sebuah lagu raya yang menyentuh jiwa dan sarat dengan mesej kemanusiaan.
Menurut The Alif, Lebaran Yang Hiba menggambarkan perasaan rindu dan kesedihan yang mendalam bagi mereka yang tidak dapat merayakan Hari Raya bersama insan tersayang kerana pemergian mereka.
"Lirik lagu ini penuh dengan nostalgia dan kenangan indah, tetapi ia juga membawa mesej positif tentang kekuatan untuk meneruskan hidup walaupun berdepan dengan kehilangan.
"Lagu ini menjadi pengingat bahawa kasih sayang dan kenangan bersama orang yang dikasihi akan terus hidup dalam hati," ujarnya.
Kumpulan yang dianggotai oleh Alif Hassan selaku gitaris dan vokalis, Azizul Fikri (gitaris utama), Shah (drummer), Ammar Az (pemain bass) dan Nora Nordin (keyboardist) berjaya menggabungkan alunan moden gitar elektrik, bass, dan drum.
Gabungan itu menghasilkan sebuah karya segar dan momed, tetapi dalam masa sama tetap memelihara nuansa klasik raya. Susunan muzik yang harmoni dan vokal penuh emosi juga menjadikan lagu itu sesuai untuk didengari bukan sahaja pada musim perayaan, tetapi juga pada bila-bila masa sebagai sumber inspirasi dan kekuatan.
Jelas The Alif lagi, Lebaran Yang Hiba dihasilkan sebagai tanda sokongan dan penghormatan kepada semua yang sedang melalui saat-saat sukar, terutamanya mereka yang kehilangan orang tersayang.
"Kami percaya bahawa muzik mempunyai kuasa untuk menyembuhkan dan memberi kekuatan. 'Lebaran Yang Hiba' adalah cara kami untuk berkongsi rasa simpati dan mengingatkan semua bahawa kehidupan mesti diteruskan dengan penuh semangat," katanya.
Lebaran Yang Hiba kini tersedia di platform muzik utama seperti YouTube, Spotify, Apple Music, dan JOOX. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments