Anzalna | FOTO: Instagram Anzalna |
Oleh: SORAYA AFNAN
MENJELANG sambutan Hari Raya yang bakal menjelma tidak lama lagi, pastinya ramai yang kini sibuk membuat persiapan dan menyediakan kelengkapan secukupnya untuk keluarga.
Dalam dalam masa saya, pastinya masing-masing juga mahu memanfaatkan bulan penuh berkat dengan berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan.
Itulah yang dilakukan pelakon jelita yang kini bergelar usahawan, Anzalna Nasir yang menghulurkan bantuan kepada seorang wanita yang ditemuinya secara tidak sengaja di hadapan sebuah bank di Taman Malawati.
Menurut Anzalna, 37, wanita itu yang ditemani anak-anaknya gigih menjual kuih raya demi mencari rezeki untuk menjaga ibunya yang sakit.
"Alhamdulillah, diberi rezeki untuk berkongsi dengan mereka dan bawa beli baju raya di Jakel. Terima kasih Encik Shah, Kak Rani dan abang Aziz kerana jaga kami ketika membeli-belah.
"Selepas beli baju raya, mereka nak sambung berniaga jual kuih raya depan Maybank, tapi saya tak benarkan sebab dah nak Maghrib.
"Saya cakap biar saya yang beli kuih raya mereka. Jadi, saya ajak mereka balik ke rumah sementara tunggu suaminya datang jemput," ceritanya pada satu hantaran di laman Instagramnya pada Khamis.
Tindakan spontan dan keikhlasan hatinya menghulur tangan, pasti memberi makna yang besar kepada wanita terbabit.
Berkongsi momen bersama keluarga tersebut, pelakon Dendam Aurora itu berkata, hatinya cukup tersentuh apabila wanita itu berkali-kali mengatakan tidak mahu menyusahkannya. Malah kata Anzalna, wanita itu juga menolak untuk duduk di sofa kerana terlalu segan.
Menerusi video yang dikongsikan, turut kelihatan kedua-dua anak Anzalna, Mohamad Eidress dan Mohamad Emirhan. Sebagaimana ibunya, anak-anak kecil itu juga kelihatan tidak kekok melayan tetamu mereka.
Anzalna bersama suami dan anak-anak | FOTO: Instagram Anzalna |
Bagaimanapun, Anzalna sedikit terkilan apabila tetamunya itu tidak sempat menjamah hidangan berbuka puasa, meski sudah siap terhidang kerana perlu segera pulang apabila dijemput suaminya.
"Hampir waktu berbuka, suami dia sampai untuk bawa mereka pulang. Tak sempat berbuka bersama, walaupun makanan dah terhidang, jadi saya 'pack' makanan untuk mereka bawa pulang.
"Saya tawarkan untuk hantar mereka balik naik kereta, tapi dia segan. Saya pelawa untuk hantar barang-barang naik Grab pun dia tetap menolak.
"Mana mungkin beg-beg besar penuh dengan barang yang saya bagi boleh dibawa naik motor, tapi dia tetap dengan pendiriannya katanya dah biasa," katanya.
Titip doa
Jelas Anzalna lagi, dia cuba memujuk pasangan tersebut menerima pelawaan tersebut demi keselamatan mereka bersama anak-anak, tetapi tidak berhasil.
"Saya cuba pujuk sebab risau dia bawa anak-anak kecil dengan banyak barang naik motor, tapi tetap tak berjaya. Sampai ada adegan tarik barang pun, tapi dia tetap cakap tak nak menyusahkan saya.
"Menangis saya masuk rumah sebab rasa kecewa tak dapat tolong. Jangan salahkan saya please.. I’ve tried my best to help them.
"Apapun, alhamdulillah, mereka selamat sampai rumah. Sangat bersyukur Allah pertemukan kami. Orangnya baik sangat, tinggi budi pekerti," kongsinya.
Perkongsian Anzalna ini pastinya menjadi inspirasi kepada ramai orang di luar sana untuk saling berbuat baik sesama kita.
Menjengah ruangan komen, ramai peminat yang menitipkan doa Anzalna dan keluarga dimurahkan rezeki asbab kebaikan hatinya yang sering membantu golongan memerlukan.
Ini bukanlah kali pertama pelakon ini memberikan bantuan, sebaliknya dia dan suami, Haniff Zaki sebelum ini sering berkongsi rezeki dan berbuat amal kebajikan dalam pelbagai cara tanpa mengira musim. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
Menjengah ruangan komen, ramai peminat yang menitipkan doa Anzalna dan keluarga dimurahkan rezeki asbab kebaikan hatinya yang sering membantu golongan memerlukan.
Ini bukanlah kali pertama pelakon ini memberikan bantuan, sebaliknya dia dan suami, Haniff Zaki sebelum ini sering berkongsi rezeki dan berbuat amal kebajikan dalam pelbagai cara tanpa mengira musim. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments