Oleh: AILEEN ADAM
SETELAH lebih setahun mengumpul material terbaik dan membuat persiapan rapi, Jennie akhirnya rasmi merilis album solo studio pertamanya yang berjudul Ruby pada Jumaat.
Album yang memuatkan 15 lagu itu julung kalinya diterbit dan dihasilkan oleh label miliknya sendiri, Odd Atelier Entertainment dengan kerjasama global menerusi Columbia Records.
Mengotakan janjinya, pemilik nama penuh Jennie Kim, benar-benar tampil menyajikan karya terbaik dalam pelbagai genre dengan tampilan penuh berimpak.
Jika sebelum ini Mantra, Zen, Love Hangover (feat Dominic Fike) dan ExtarL (feat Doechii) menjadi siulan ramai dan hit di pelbagai carta lagu popular, kini menyusul Like Jennie yang menjadi single terbaharu daripada album ini.
Lagu bergenre hip hop yang didedikasikan khas buat 'haters' penyanyi itu tampil solid dengan rentak dan bait lirik yang sarat dengan mesej tajam untuk golongan itu.
Malah peminat juga berpuas hati apabila Jennie kembali mempamerkan kemampuan rap hebatnya sekali gus menjadikan satu-satunya lagu berbahasa Korea dalam album itu pantas trending di pelbagai platfom.
Tidak hanya itu, muzik video (MV) lagu tersebut yang turut dilancarkan serentak bersama album hari ini melaju dengan jumlah 'view' yang cukup tinggi hanya dalam masa beberapa jam.
Album Ruby turut menampilkan lagu berjudul Jane (feat FKJ), Start A War, Handlebars (feat Dua Lipa), With The IE (Way Up), Damn Right (feat. Childish Gambino & Kali Uchis), F.T.S, Filter, Seoul City, Starlight dan Twin.
Rata-rata peminat dan penggemar muzik memberikan respon yang cukup positif pada album ini dan memuji kemampuan Jennie yang berjaya menampilkan karya terbaik dengan kepelbagaian genre, sekali gus menyerlahkan bakat luar biasanya dalam muzik.
Dalam temubual sebelum ini, penyanyi berbintang Capricorn itu menjelaskan, album solo tersebut sangat penting buat dirinya kerana karya-karya yang dihasilkan dalam Ruby menceritakan perjalanannya sebagai artis solo dengan suara dan sudut pandangnya sendiri.
Jennie ternyata tahu apa yang dimahukan dalam muziknya dan dia seolah-olah memperkenalkan dirinya sebagai sosok baharu, sebagai anak seni yang mempunyai pendirian dan identiti tersendiri.
Mengulas lanjut, Jennie berkongsi, album solonya itu terinspirasi daripada naskhah agung karya Shakespeare yang berjudul As You Like It.
"Ruby terinspirasi daripada teater Shakespeare As You LIke It. Album ini mengeksplorasi tema kelahiran, cinta, kepercayaan, dan mencapai puncak kehidupan.
"Aksi membuka tirai panggung yang ditampilkan pada cover album ini merupakan simbolik memulakan babak baharu (solo) dalam karier muziknya," ujar pemilik label Odd Atelier itu lagi.
Menyentuh tentang judulnya, sebagaimana diketahui, 'Ruby' merupakan nama tengah kepada nama kedua bintang K-Pop sensasi itu, Jennie Ruby Jane. Dalam masa sama, 'Ruby' juga membawa maksud batu permata merah, yang sekali gus turut menjelaskan pemilihan warna merah yang mendominasi konsep album itu.
Doechii dan Dua Lipa antara artis yang tampil berkolaborasi bersama Jennie dalam Ruby. |
Dikenali sebagai seorang kreatif, genius dan 'perfectionist', Jennie terlibat dalam keseluruhan proses produksi album itu.
Masa dan pengalaman yang dikutip sepanjang pembikinan Ruby, menjadi momen yang begitu istimewa buat dirinya, apatah lagi dalam tempoh tersebut jelas menemukan jati dirinya sebagai anak seni.
"Saya belum pernah menghabiskan masa yang lama seperti ini di studio rakaman dan ini kali pertama.
"Setiap langkah kecil adalah bereksperimen, keluar dari zon nyaman dan ia benar-benar sesuatu yang gila tetapi menyenangkan kerana begitu banyak emosi berbeza telah dituangkan dalam album ini," katanya.
Eksklusif
Eksklusif
Bagi peminat yang mendapatkan album Ruby dalam format fizikal, terdapat versi 'Jennie Only Audio' yang menampilkan lagu-lagu duet hanya dengan vokal Jennie secara eksklusif.
Bersempena pelancaran album Ruby juga, Jennie pada hari sama buat julung kalinya mengadakan persembahan solo istimewa, The Ruby Experience yang berlangsung di Peacock Theater, Los Angeles, Amerika Syarikat.
Pada persembahan tersebut, bintang berusia 29 tahun itu tampil menyampaikan lagu-lagu daripada album solonya itu secara eksklusif buat pertama kalinya kepada penonton yang hadir.
The Ruby Experience juga bakal menyusul di New York (Radio City Music Hall) pada 10 Mac dan diikuti Seoul, Korea Selatan (Inspire Arena) pada 15 Mac ini.
Dalam perkembangan lain, Jennie dijadualkan tampil melakukan persembahan sebagai artis solo di Festival Muzik dan Seni tersohor, Coachella di California, pada 13 dan 20 April depan.
Jennie menjadi anggota terakhir Blackpink yang merilis album solo selepas Rosé menerusi Rosie pada 3 Disember tahun lalu, Jisoo (Amortage) pada 14 Februari dan Lisa (Alter Ego) pada 28 Februari lalu. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments