Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Aku Tetap Raya - Soma teruja ada lagu raya sendiri

Soma

MENGISI kemeriahan Aidilitri yang semakin dirasai kini, penyanyi Soma turut tidak mahu ketinggalan untuk tampil dengan sebuah lagu Raya baharu, Aku Tetap Raya.

Menurut Soma atau nama sebenarnya Rosmah S. Sengari @ Basar, karya ciptaan Belle Fattah, Adinda Amiro dan dia sendiri itu sarat dengan mesej kegembiraan dan kehangatan Syawal, selain melodi yang ceria serta lirik bermakna.

Serentak dengan perilisan lagu Aku Tetap Raya, turut dilancarkan muzik video (MV) lagu itu yang menampilkan penyanyi legenda tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim dan Zahnita, model terkenal yang kini kembali aktif dalam industri seni.

Sempena majlis pelancaran itu, Soma turut meraikan rakan-rakan media dalam majlis berbuka puasa untuk menyatakan penghargaannya terhadap sokongan yang diberikan kepada kerjaya seninya.

"Saya amat teruja dengan acara ini kerana ia bukan sekadar pelancaran lagu dan MV rasmi, tetapi juga peluang untuk saya berjumpa dan berbuka puasa bersama rakan-rakan media yang sentiasa memberi sokongan kepada perjalanan seni saya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan mereka, terutama selepas pelancaran album pertama saya, Perjalanan. Saya harap lagu ini dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini," katanya.

Sekitar majlis pelancaran lagu dan MV Aku Tetap Raya

Terdahulu Soma melancarkan album sulungnya berjudul Perjalanan yang memuatkan lima lagu termasuk tiga buah karya istimewa ciptaan komposer tersohor, Allahyarham S. Atan.

Menerusi pelancaran lagu dan MV Aku Tetap Raya, Soma berharap karya itu dapat memberikan keceriaan dan menjadi lagu pilihan peminat sepanjang musim perayaan ini.

Aku Tetap Raya kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music bermula 14 Mac lalu. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments