Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Teroka keindahan, keunikan gua di Türkiye


TURKIYE merupakan destinasi sempurna buat pengunjung yang berminat untuk meneroka gua dengan hampir 40,000 gua boleh didapati di negara itu.

Meneroka tasik bawah tanah, stalaktit dan stalagmit daripada struktur geologi yang menarik ini ternyata salah satu pengembaraan paling mendebarkan yang boleh anda kecapi.

Tatkala anda menjejakkan kaki ke dunia bawah tanah yang misteri ini, sememangnya mustahil sekiranya tidak berasa seperti anda berada dalam set filem yang hebat.

Teruskan membaca untuk mengenali enam gua yang paling indah untuk diterokai di Türkiye.

Gua Altınbeşik: Tasik bawah tanah terbesar

Antalya yang menjadi nadi kepada Riviera Turki, sememangnya destinasi terkenal dalam kalangan pengembara dengan banyak gua besar dan kecil yang mempunyai kesan sejarah manusia.

Gua Altınbeşik di perkampungan Ürünlü merupakan gua pertama di rantau ini yang terkenal di dunia. Gua berkenaan yang merupakan keajaiban semula jadi dengan struktur tiga peringkat yang tersendiri, juga menempatkan tasik bawah tanah terbesar di Türkiye dan ketiga terbesar di dunia.

Perjalanan bot di tasik itu membolehkan pengunjung meneroka pintu masuk gua berkenaan yang kelihatan seperti oasis di tengah-tengah persekitaran hutan pohon pain.

Pada penghujung tingkat ini, anda bakal menyaksikan pembentukan travertine menegak sepanjang 44 meter yang memang mengagumkan.

Peneroka gua profesional boleh menggunakan peralatan khusus untuk mendaki ke tingkat dua di bahagian atas travertine ini yang dipenuhi dengan kolam; manakala tingkat atas pula menempatkan bongkah batu yang besar.

Gua Damlataş

Gua Damlataş: Dunia stalaktik serba menarik 

Gua Damlataş di daerah Alanya di Antalya, antara tempat pertama yang terlintas di fikiran dalam perbincangan mengenai pelancongan gua di Türkiye.

Mendapat jolokan lantaran stalaktitnya yang dramatik, pangkalan gua ini diakses menerusi rongga silinder selepas menempuh laluan sepanjang 50 meter di bahagian pintuk masuknya yang dipenuhi dengan stalaktit.

Selain daripada stalaktitnya yang mengagumkan, gua ini juga terkenal dengan udaranya yang dipercayai bermanfaat kepada mereka yang mempunyai masalah pernafasan.

Beberapa pesakit asma menjalani rawatan selama 21 hari dengan duduk di dalam gua ini setiap hari dalam tempoh tertentu semasa di bawah pemantauan perubatan.


Gua Karain

Gua Karain: Pusat kehidupan Palaeolitik

Di wilayah Antalya juga menempatkan Karain, salah satu gua semula jadi yang paling penting di negara ini dan tapak arkeologi penting yang mengetengahkan penemuan Zaman Palaeolitik.

Karain juga ialah gua terbesar Türkiye yang memiliki penemuan menandakan kediaman manusia dari zaman Palaeolitik sehingga zaman Rom; beberapa tinggalan di gua ini dipercayai hasil karya seni buatan manusia yang paling lama di Anatolia.

Gua Karain juga termasuk dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia UNESCO.

Gua Ballıca Tokat

Gua Ballıca: Warisan geologi penyembuhan

Gua Ballıca Tokat yang berusia sejak 3.5 juta tahun lalu merupakan tarikan popular di rantau Laut Hitam.

Landskap geologi gua ini sememangnya unik yang mengandungi stalaktit, stalagmit dan tiang, travertine tirai, mutiara gua, kolam batu titis serta stalaktit bawang yang unik.

Gua ini yang mengekalkan misterinya lantaran bahagian yang belum diterokai, mempunyai lapan ruang yang mana semua pembentukan gua yang dikenal pasti setakat ini boleh dilihat.

Meneroka bahagian gua ini yang dibuka untuk pengunjung umpama memulakan perjalanan yang memberi kejutan dan keterujaan pada setiap langkah.

Dimasukkan dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia UNESCO  pada tahun 2019 disebabkan pembentukan kalsit yang berwarna terang, gua ini yang bebas daripada habuk dan debunga, juga bertindak sebagai pusat rawatan untuk asma dan sesak nafas kerana udara ion negatifnya.

Gua Karaca

Gua Karaca: Istana bawah tanah Gümüşhane

Gua Karaca merupakan tarikan terkenal di Gümüşhane, sebuah bandar yang indah di rantau Laut Hitam Timur.

Gua ini mengandungi stalaktit, stalagmit, dinding piktograf, travertine dinding, bunga-bungaan gua, mutiara gua, telinga gajah, kolam travertine serta mawar gua berwarna-warni yang mempesonakan.

Gua fosil ini yang terbina dalam batu kapur dengan banyak rekahan, terbentuk dengan jalinan empat ruang berbeza yang menyerupai elips.

Dua daripada ruang ini kemudiannya dipisahkan oleh batu titisan dinding yang terbentuk oleh air yang meleleh sekian lama, menjadikan jumlah keseluruhan ruang kepada enam.

Gua Dupnisa: Sistem gua Thrace yang terkenal

Gua Dupnisa di Kırklareli, wilayah terkenal di rantau Thrace di Türkiye merupakan khazanah tersembunyi di daerah Demirköy yang subur.

Dupnisa, gua pelancongan yang pertama dan satu-satunya di Thrace, mengalu-alukan puluhan ribu pengunjung saban tahun yang dapat melihat gua dua tingkat ini dan tiga gua marmar yang saling bersambung.

Bahagian atas struktur berkenaan yang telah berkembang selama kira-kira empat juta tahun, terdiri daripada Gua Kuru dan Kız  manakala Gua  Sulu mengalu-alukan pengunjung di tingkat lebih rendah.

Dupnisa memaparkan pelbagai warna daripada putih susu sehinggalah merah dan coklat serta memiliki stalaktit, stalagmit, tiang, tirai, batu titis dan kolam batu titis yang mencapai saiz besar yang ternyata mengagumkan.

Gua ini menempatkan 11 spesies kelawar berbeza, dan kawasan tertentu pula ditutup untuk pelawat di antara 15 November hingga 15 Mei bagi membolehkan kelawar membiak. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments