Hot Posts

6/recent/ticker-posts

“Saya tak takut!” – Syazani cabar diri bawa watak antagonis

Syazani Zikry


Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN

KETIKA ramai pelakon baharu mengelak daripada memainkan watak gelap dan antagonis, bintang sedang meningkat naik Syazani Zikry melihatnya sebagai peluang keemasan untuk membuktikan versatiliti dalam bakat lakonannya.

Berani memilih jalan berbeza, Syazani mahu mengangangap ia sebagai cabaran dalam usahanya menimba pengalaman dalam mencorak dan meneraju bakat dimiliki.

“Saya sangat bersedia dan up for the challenge. Setakat ini, setiap watak yang saya bawa berbeza, namun masih dalam ruang protagonis.

“Saya harap selepas ini dapat lebih banyak peluang untuk membawa watak antagonis,” katanya.

Pada tahun 2023, pelakon berusia 27 tahun itu bersama Feisk Productions telah menerbitkan dan membintangi sebuah filem pendek berjudul Tali Kasut, bertemakan kanibalisme yang disiarkan di saluran YouTube.

Menurut Syazani, filem itu memberi peluang dia menunjukkan sisi lakonannya yang lebih berani dan berbeza.

Sebagai peminat besar Anthony Hopkins dan genre thriller, Syazani menjadikan pelakon itu sebagai inspirasi dalam membawakan watak-watak kompleks yang memukau penonton.

“Saya percaya, apabila seseorang pelakon dapat menghidupkan watak dengan begitu baik, penonton pasti akan mengingatinya,” ujarnya.

Bersedia menerima kritikan, bintang asal Selangor itu melihat reaksi penonton sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap keberkesanannya dalam menghidupkan watak.

“Kritikan itu lumrah. Baik atau buruk, ia tetap memberi impak kepada mereka selepas menonton.

“Sebagai pelakon, itu bermakna saya telah berjaya melaksanakan watak tersebut dengan berkesan,” jelasnya.

Percaya pada rezeki

Dalam ada itu, Syazani mengharapkan 2025 menjanjikan lebih banyak peluang buat dirinya meneroka kerjaya lakonan. Apatah lagi beberapa hasil kerja yang dijayakan sebelum ini bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Syazani baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem dan drama untuk RTM, selain bakal muncul dalam filem 'dark comedy' berjudul Angkat, selepas Hari Raya. Terdahulu filem itu terpilih untuk World Premiere at Blue Chair Film Festival pada 7 Disember 2024.

Syazani mahu kejar lebih banyak peluang.

Mengulas mengenai cabaran mendapatkan projek di stesen televisyen tempatan, Syazani optimis dengan rezekinya dalam industri.

“Bila satu peluang ditolak, dua lagi akan muncul. Saya percaya dengan sokongan pemain industri, saya diberikan ruang untuk membuktikan kebolehan saya,” katanya.

Dengan keazaman yang tinggi, Syazani membuktikan dirinya bukan sekadar pelakon biasa tetapi bersedia mencipta fenomena dengan keberaniannya membawa watak yang mencabar.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments