Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Satu dewan hafal lagu! Tomok, Nana buktikan populariti masih utuh

Kehangatan konsert Memori Mungkin Berulang yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur

Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN

ZEPP Kuala Lumpur menjadi saksi kepada malam penuh emosi dan nostalgia apabila Tomok dan Siti Nordiana bergabung dalam konsert istimewa mereka, Memori Mungkin Berulang.

Dengan rentak lagu yang dipengaruhi elemen Jawa pada pembukaan konsert, penonton disajikan dengan sebuah persembahan yang tidak hanya memukau tetapi juga menyentuh hati peminat setia mereka.

Dendangan lagu Hatiku Milikmu, menghangatkan suasana sebelum Siti Nordiana, 40, atau lebih mesra dipanggil Nana berkongsi bahawa lagu itu adalah kesinambungan daripada hits Paling Comel.

"Masing-masing dah study kan? Set list tak bagi, nak bagi anda alert sendiri," selorohnya kepada peminat, menunjukkan keakrabannya dengan mereka.

Selain itu, Nana turut mengenang detik selepas penertaannya dalam program Gegar Vaganza 2 (GV2) yang menjadi titik perubahan dalam karier seninya.

"Selepas GV2, saya cipta lagu ini sebagai kesinambungan kerjaya saya," ujarnya.

Tidak mengejutkan apabila lagu-lagu beremosi seperti Terus Mencintai turut menjadi pilihan, kerana seperti yang diakui nyanyia itu, lagu-lagu berunsur kekecewaan memang dekat di hatinya.


Tomok hargai sokongan peminat yang setia dalam perjalanan kerjaya seninya.

Sementara Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 40, pula mengimbau kenangan ketika mencipta lagu Aku Datang di Istanbul.

"Lagu ini saya cipta masa di Istanbul," katanya sebelum mempersembahkan lagu tersebut dengan penuh penghayatan.

Vokalis New Boyz itu tidak lupa mengucapkan penghargaan kepada peminat setia, termasuk Siti Nordiana FC, Tomokianz, dan NBianz yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka.

Malam itu juga turut menyaksikan gabungan elemen muzik antarabangsa yang turut menjadi pilihan apabila Nana dan Tomok menyampaikan lagu Korea, Kill This Love nyanyian kumpulan Blackpinik serta lagu Hindustan, Kuch Kuch Hota Hai dan Koi Mil Gaya untuk dipersembahkan kepada penonton.

Kata Nana, lagu itu membuatkan dia 'tidak tidur malam' demi memastikan persembahan terbaik buat peminat.

Momen istimewa juga berlaku apabila Tomok menghadiahkan boneka sebagai 'signature gift' kepada Nana, mencetuskan suasana penuh kemesraan di pentas.

Kehangatan konsert diteruskan dengan lagu-lagu nostalgia termasuk Meraung dan Sejarah Mungkin Berulang, selain Gurauan Berkasih serta Memori Berkasih yang mengimbau kenangan Nana bersama Allahyarham Achik Spin.

Paling manis saat lagu single baharu, Memori Mungkin Berulang didendangkan, suasana menjadi lebih mengujakan apabila hampir seluruh dewan menyanyikan lagu tersebut bersama.

Tomok, Nana saling mengimbau kenangan

Penonton yang hadir jelas teruja, menjadikan momen itu sebagai salah satu detik kemuncak dalam konsert ini.

Sebagai penutup, Tomok dan Nana mempersembahkan lagu Paling Comel, sekali gus menutup tirai malam penuh emosi dan nostalgia dengan sorakan gemuruh daripada hampir 1,500 peminat yang tidak jemu memberi sokongan sejak lebih dua dekad lalu.

Lebih 20 buah lagu solo dan duet dipersembahkan pada konsert istimewa berdurasi dua jam setengah itu.

Tidak sekadar itu, peminat boleh menantikan satu lagi projek duet istimewa mereka yang bakal dilancarkan selepas raya nanti, meskipun judul lagunya masih dirahsiakan.

Konsert Memori Mungin Berulang anjuran Tomok di bawah syarikatnya, Popsicle Records itu bukan sekadar hiburan, tetapi juga bukti keutuhan perjalanan seni dua bintang ini.

Dengan semangat dan dedikasi yang tidak pernah pudar, jelas bahawa Tomok dan Siti Nordiana masih punya magis tersendiri untuk terus bersinar di persada industri muzik Malaysia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments